Malah, dia turut percaya ada hikmah di sebalik perpisahan itu dan dirinya kuat untuk menempuh semua itu.
Sherry meluahkan perasaannya itu menerusi Instagram yang dikongsi awal pagi ini.
Semalam, BH Online menyiarkan pengakuan Fattah, percintaan yang terjalin antara mereka sudah pun terputus.
Hubungan cinta antara dua pelakon ini dikatakan terjalin ketika mereka terbabit dalam penggambaran drama Cinta Ibadah, kira-kira dua tahun lalu.
Sherry juga sedar, ramai pihak termasuk wartawan cuba menghubunginya berkaitan berita putus cinta itu.
“Pertama sekali, saya nak minta maaf kepada semua pihak yang cuba menghubungi untuk mendapatkan penjelasan termasuk melahirkan rasa ambil berat terhadap apa yang terjadi.
“Saya faham. Cuma buat masa ini, saya minta jasa baik semua orang untuk berikan masa dan ruang. Apabila saya bersedia nanti, pasti akan ada kenyataan daripada pihak saya. “
Hal ini bukan kali pertama saya lalui. Ia bukan mudah. Ia membabitkan perasaan cinta, kasih dan sayang. Apa yang berlaku ada hikmahnya dan Tuhan pasti tahu yang hamba-Nya ini kuat untuk menempuhinya,” tulis Sherry.
Tambahnya lagi, apa terjadi menjadi pengajaran selain membuatkan dirinya reda.
“Pada akhirnya saya tak hilang apa apa pun. Siang dan malam saya tak putus berdoa kerana yakin Tuhan lebih tahu apa yang lebih baik untuk hamba-Nya yang kerdil ini.
“Ya, saya kena terus tabah. terima kasih Allah SWT. Mungkin ada yang lebih baik untuk penghijrahan diri ini,” tulisnya lagi.
Semalam, Fattah menerusi kenyataannya turut menyifatkan Sherry sebagai wanita yang sangat baik.
Pemuda itu juga menganggap jodohnya dengan Sherry tidak panjang dan mereka berpisah secara baik.
Fattah, yang sebumbung dengan Sherry di bawah pengurusan Myfastyle, sentiasa mendoakan yang terbaik sekali gus memberi sokongan padu kepada wanita itu yang pernah bertakhta di hatinya.