Menurutnya, menginjak usia 31 tahun pada 30 Ogos ini, sudah sampai masa untuk dia merancang untuk berumah tangga.
“Tahun ini saya akan berumur 31 tahun. Sudah banyak pencapaian yang saya peroleh dari segi kerjaya. Jadi sekarang sampai masanya untuk saya memikirkan tentang kehidupan berumah tangga.
“Insya-Allah kalau rezeki, saya ingin mendirikan rumah tangga paling lewat sebelum saya mencecah usia 32 tahun tetapi saya tidak boleh bagi kata putus mengenai tarikhnya kerana perlu mengikut adat dan perancangan keluarga,” katanya.
Tambah Sharnaaz, pengumuman rasmi mengenai pertunangan dan perkahwinannya akan dikongsi bersama media apabila mereka berdua sudah bersedia dan mendapat tarikh yang ditetapkan.
“Keluarga saya dan Nabila sudah saling mengenali dan akan merancang untuk berjumpa bagi berbincang tentang kami. Kalau tiada halangan, saya mahu bertunang terlebih dahulu. Apabila semua sudah sedia dan pasti, saya akan beritahu kepada rakan-rakan media,” ujarnya.
Sharnaaz dan Nabila saling mengenali sejak setahun yang lalu. Dalam tempoh itu, mereka dikatakan pernah ‘putus’ gara-gara mereka memadamkan gambar di akaun Instagram masing-masing. – Utusan Malaysia