Shafie patut bersabar, beliau masih disiasat

Kata Ismail, Shafie tidak wajar membuat tindakan terburu-buru kerana siasatan jawatankuasa Majlis Tertinggi (MT) terhadapnya masih berjalan.

“Jawatankuasa Disiplin UMNO hanya menggantung sementara jawatan beliau bagi membolehkan kertas siasatan kesalahan dijalankan. Kita tak pecat beliau lagi, baharu gantung untuk siasat.

“Tapi umum maklum kesalahan yang dilakukan Mohd Shafie begitu terserlah iaitu beberapa kali berkongsi pentas bersama pembangkang dan terlibat dalam gerakan anti-Najib (Deklarasi Rakyat),” kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu.

Shafie baru-baru ini mempersoalkan keputusan MT UMNO yang menggantung keahliannya tanpa sebarang siasatan dan perbincangan ketika beliau mengerjakan umrah.

Turut berkongsi pendapat yang sama, seorang lagi ahli MT UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang turut mempersoalkan tindakan Mohd Shafie mengumumkan keluar parti sebelum selesai siasatan.

“Kenapa tidak tunggu jawatankuasa disiplin selesai siasat?

“Jadi nasihat saya kepada Mohd Shafie tak perlulah lagi mempersoalkan apa-apa lagi berkaitan UMNO kerana beliau bukan lagi ahli UMNO,” katanya.

Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, apabila tindakan diambil ke atas seseorang ia bukan bermakna UMNO tidak menghargai jasanya.

“MT UMNO tidak pernah mempersoalkan jasa dan sumbangan Mohd Shafie kepada parti sebelum ini. Kita hargainya namun harus diingat sebagai ahli atau pemimpin UMNO sebesar mana pun jasa dan sumbangan kita kepada parti ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar peraturan dan undang-undang parti.

“Jika Mohd Shafie bersabar sementara siasatan dijalankan mungkin beliau berpeluang dipanggil untuk membela diri,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri