Kesal disoal siasat, ahli parlimen berhak berucap – Shafie Apdal

Beliau berkata proses soal siasat itu tidak sepatutnya berlaku di kalangan Ahli Parlimen yang berhak untuk berucap di Dewan Rakyat.

“Saya beranggapan ini proses intimidasi terhadap Ahli Parlimen yang sepatutnya berhak berucap di parlimen termaktub dalam Perlembagaan Artikel 63 (2).

“Saya kesal sepatutnya ini proses yang ditiadakan untuk ahli parlimen sehingga disoal siasat oleh pihak berkuasa mengenai perbahasan di peringkat parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan mengenai kenyataannya berkaitan 1MDB di Bukit Aman selama sejam, pada Isnin.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, semasa proses soal siasat itu beliau mempertahankan beberapa kenyataan yang dibuat di Parlimen.

“Itu hak saya. Saya tak salahkan pegawai (yang menyoal siasat) kerana itu tanggungjawab dia,” katanya.

Shafie berkata, dia memberi keterangan di hadapan seorang pegawai berpangkat Asisten Superintendan Polis (ASP).

Tegasnya, beliau tahu hak dan batasan seorang Ahli Parlimen ketika membahasakan sesuatu isu terutamanya apabila membabitkan kepentingan rakyat.

“Kami tahu apa itu hasutan atau tak. Namun kami tidak dibenarkan untuk berbahas mengenai isu kepentingan rakyat,” katanya.

Terdahulu, bekas naib presiden Umno itu tiba di pekarangan Bukit Aman pada pukul 9.53 pagi.

Turut hadir memberi sokongan kepada Shafie adalah bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang juga bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan beberapa pemimpin pembangkang, Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh), Lim Lip Eng (Ahli Parlimen Segambut) dan Teo Kok Seong (Ahli Parlimen Rasah). – mStar Online

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri