Timbalan perdana menteri berkata dalam UMNO beliau kini menggalas tanggungjawab sebagai timbalan presiden parti dan keadaan itu memerlukannya untuk bersama-sama dengan presiden mempertahankan dan mendepani segala cabaran yang dihadapi oleh parti.
Katanya, beliau tidak memikirkan soal jawatan sebaliknya berserah kepada ketentuan Allah dalam menentukan perjalanan kerjaya politiknya.
“Saya hanya makan di pinggan yang ada di depan saya, nasi dan lauk yang dihidangkan kepada saya. Saya tidak akan pergi ke meja lain untuk mengambil lauk atau nasi walaupun nasi dan lauk tidak cukup.
“Ertinya, saya akan berada di suatu keadaan di mana saya harus hormati institusi yang ada, dan ia berlaku jika mengikut kehendak Allah,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.
Temu bual melalui Program Ruang Bicara Khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 itu akan disiarkan saluran televisyen Bernama News Channel (BNC) pada malam 26 November. – Bernama