Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ia berdasarkan pemeriksaan dan analisis menyeluruh, ATSB dengan persetujuan Pasukan Penyiasat Keselamatan MH370 mengenal pasti beberapa penemuan.
Tiong Lai berkata, antaranya termasuk beberapa nombor bahagian serta rupa bentuk fizikal, dimensi dan pembinaan disahkan serpihan seksyen dalam pesawat bagi flaperon Boeing 777.
“Tarikh yang dicap berkait dengan satu daripada bahagian menyatakan bahawa pengeluaran adalah pada 23 Januari 2002, yang mana konsisten dengan tarikh penghantaran bagi MH370 pada 31 Mei 2002.
“Sebagai tambahan kepada nombor bahagian Boeing, semua penanda identifikasi mempunyai nombor ‘OL’ kedua yang mana ia adalah pengenalpastian unik berkaitan pembinaan bahagian (pesawat),” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Beberapa serpihan pesawat yang dikaitkan dengan MH370 ditemui sejak tahun lalu, namun hanya bahagian flaperon yang ditemui di Pulau Reunion, Perancis disahkan sebagai 100 peratus milik pesawat malang itu.