Susulan daripada itu kata Jailani, pihak SKMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan akan melihat dari segi kandungan dan proses siasatan masih berjalan dan saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai siasatan itu,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat malam Khamis.
Menurut Jailani, sekiranya siasatan mendapati terdapat bukti yang boleh menjadi kesalahan di bawah akta tersebut, kes tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Mengulas mengenai serbuan bersama dengan pihak polis, Jailani menjelaskan ianya bertujuan mengelak pertindihan siasatan kerana pihak polis juga boleh melakukan siasatan terhadap aduan berkaitan perkara tersebut di bawah Seksyen 233 itu.
Seksyen 233 akta itu menyatakan mengenai penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian di mana seseorang itu memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain, katanya.