Serang Pusat Agihan Makanan, Israel Terang-terangan Cabul Hak Asasi Kemanusiaan

KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan oleh Israel ke atas pusat pengedaran makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Rafah, Gaza pada 13 Mac lalu.

Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, serangan yang disengajakan terhadap fasiliti, konvoi dan kakitangan PBB adalah pengabaian terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Malaysia mengulangi gesaan agar gencatan senjata serta-merta dan kekal dicapai untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang tidak bersalah dan memastikan akses bagi bantuan kemanusiaan tanpa halangan, selamat, mencukupi dan berterusan bagi memastikan makanan, ubat-ubatan, keperluan asasi selamat sampai di seluruh Gaza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sekurang-kurangnya seorang kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) terbunuh, dan 22 lagi cedera dalam serangan tersebut.

UNRWA adalah agensi yang melindungi jutaan rakyat Palestin dan serangan yang menyasarkan pusat pengedaran makanan agensi ini di Gaza adalah tindakan yang menyalahi undang-undang dan tidak berperikemanusiaan.

Sejak tercetusnya konflik, sekurang-kurangnya 165 ahli pasukan UNRWA telah terbunuh termasuk mereka yang sedang menjalankan tugas; lebih 150 fasiliti UNRWA musnah termasuk sekolah; manakala lebih 400 orang terbunuh ketika mencari tempat perlindungan.

Wisma Putra berkata, keganasan yang melampau oleh Israel terhadap rakyat Palestin dan serangan terhadap kakitangan dan wartawan PBB mesti dihentikan dengan segera.

“Kegagalan masyarakat antarabangsa untuk bertindak akan menyebabkan kehilangan nyawa yang lebih ramai dan menambahkan lagi penderitaan rakyat Palestin.

“Semua negara perlu menjalankan tanggungjawab mereka dari segi kemanusiaan, etika, dan undang-undang kepada rakyat Palestin terutamanya di dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya sambil menambah Malaysia tetap berpegang teguh dengan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin. – MalaysiaGazette

Related posts

Tiada Lagi Tempat Selamat Di Malaysia, Guan Eng Gesa MKN Mesyuarat Bincang Isu KK Mart

Kaedah Bekal Senjata, Butiran Perbualan Shalom, Pasangan Suami Isteri Adalah Sulit

Lelaki Warga Israel, Pasangan Suami Isteri Bakal Berdepan Hukuman Mati