Sepak Takraw: Terengganu, P. Pinang jadi pilihan di Sukma 16

Untuk temasya kali ini, Terengganu tampil sebagai juara bertahan acara regu.

Bukan itu sahaja, skuad yang mendapat sentuhan bekas pemain kebangsaan, Mohd Futra Abd Ghani serta jurulatih dari Thailand, Vitaya Boonta itu menepati ramalan apabila muncul juara sepak takraw Pra-Sukma 2016 di Stadium Tertutup Miri, Januari lalu.

Bersandarkan kepada perkembangan positif itu, Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) menerusi presidennya, Mohd Shapian Ali menyasarkan sekurang-kurangnya skuad kali ini membawa pulang dua pingat emas, masing-masing acara regu dan berpasukan.

Di Sukma Perlis 2014, Terengganu mengekalkan pingat emas untuk kali keempat berturut-turut selepas membenam cabaran Negeri Sembilan 2-1.

Bagi Mohd Futra pula, kegagalan di Piala Emas Khir Johari, Februari lalu dijadikan iktibar selain tekad mempamerkan permainan bermutu tinggi di Kuching nanti.

“Pemain sudah sedia bawa pulang pingat emas,” katanya.

Sementara Pulau Pinang meletakkan harapan tinggi dengan sasaran sekurang-kurangnya meraih dua emas.

Sasaran itu dibuat berdasarkan pencapaian semakin memberangsangkan dalam kalangan pemain, selain rekod meraih dua perak dan satu gangsa pada Sukma ke-15 di Perlis, dua tahun lalu.

Jurulatih Sepak Takraw Pulau Pinang Mahadzer Mokhtar berkata, kelemahan selepas tewas kepada Wilayah Persekutuan aksi final beregu dua tahun lalu memberikan inspirasi kepada pemain untuk terus meningkatkan usaha bagi mencapai sasaran raih dua emas atau sekurang-kurangnya satu emas.

Difahamkan, antara pemain disenaraikan Pulau Pinang yang kini menjalani latihan termasuk Mohamad Syahir Mohd Rosdi, Said Ezwan Said De, Muhammad Muzamir Md Yusof, Mustaqim Zainordin, Mohammad Azamuddin Zulfikri.

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2