Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata penganggur berusia 21 tahun, yang juga bekas banduan itu ditahan oleh sepasukan anggota polis yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Taman Damai Indah, di sini, jam 7.30 pagi, hasil maklumat orang awam.
Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu adalah sehelai baju T berwarna merah dan seluar berwarna kelabu yang dipakai suspek ketika kejadian.
“Hasil siasatan awal, suspek mengaku, menunggang motosikal milik rakan sejenayah (suspek utama) yang sudah ditahan Isnin lalu dan melarikan mangsa dari tempat kejadian.
“Suspek turut memberitahu ketika kejadian, suspek utama berperanan memegang mangsa dan mengugutnya dengan parang supaya tidak melawan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Katanya, semakan turut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan curi dalam bangunan.
Othman berkata, suspek direman tujuh hari mulai hari ini sehingga 5 Oktober depan dan siasatan masih diteruskan bagi mengumpulkan bukti sebelum kedua-dua suspek didakwa di mahkamah.
Terdahulu, suspek utama berusia 27 tahun ditahan, dalam serbuan jam 3.30 petang, Isnin lalu, di sebuah rumah di Taman Koperasi Maju Jaya, Cheras.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan suspek ketika melarikan mangsa dan hasil semakan, suspek yang juga seorang penganggur aktif melakukan kegiatan samun dan mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Nur Darleen Dazeera, 15, dilarikan dua lelaki menunggang motosikal di hadapan rumahnya di Jalan Suasana 4/2, Bandar Tun Hussein Onn, ketika sedang menunggu van untuk ke sekolah.