Bintang Barcelona itu terpaksa menangguhkan penampilannya pada kejohanan benua itu bagi memberi ruang kepada proses pemulihan akibat kecederaan belakang dengan jurulatih Argentina, Gerardo Martino sekali lagi membuat kejutan dengan menyenaraikannya sebagai pemain gantian.
Begitupun, Messi tidak mahu membuang masa untuk membuktikan ketajamannya apabila dibawa masuk pada minit ke-61 dengan menggantikan Augusto Fernandez dengan Argentina ketika itu sedang mendahului 1-0.
Peledak berbisa itu membuka tirai jaringannya pada kejohanan itu pada minit ke-68, melengkapkan cubaan Gonzalo Higuain yang sebelum itu mengenai pertahanan Panama.
Tetapi gol keduanya jelas tidak lagi berpandukan nasib apabila Messi melepaskan sepakan percuma lencong yang menerjah ke gawang Panama yang mencetus pesta di Stadium Soldier Field pada minit ke-78.
Ketika emosi Panama semakin goyah, pemain terbaik dunia itu sekali lagi menghukum mereka dengan melengkapkan hatriknya menerusi gerakan menarik ke kawasan penalti lawan sebelum menyudahkannya.
Malah, Messi turut menjadi antara penyumbang kepada gol kelima Argentina apabila hantarannya menjadi punca kepada jaringan Sergio Aguero pada minit ke-90.
Rakan sepasukan Aguero di Manchester City, Nicolas Otamendi sebelum itu membuka tirai jaringan pada minit ketujuh permainan dengan menanduk masuk sepakan percuma daripada Angel Di Maria.
Kemenangan menyaksikan Argentina yang turut meraih kemenangan 2-1 ke atas Chile pada perlawanan pertama, mengesahkan tiket ke peringkat lapan terakhir berbaki satu lagi perlawanan dalam Kumpulan D.
Satu-satunya kekecewaan yang dihadapi pasukan itu ialah kecederaan yang menimpa perancang tengahnya, Di Maria yang terpaksa dibawa keluar pada babak pertama perlawanan yang menambah memori buruk kecederaannya dalam kejohanan utama.
Pemain sayap Paris Saint-Germain itu berdepan kecederaan pada Piala Dunia 2014, sekali gus terlepas aksi final dan turut berdepan kecederaan ketika Copa America di Chile, tahun lalu.
Lawan terakhir Argentina di peringkat kumpulan ialah Bolivia yang kekal tanpa sebarang mata ketika ini. – AFP