Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju untuk mengadakan majlis berkenaan bagi menghargai kejayaan atlet Paralimpik negara yang meraih tiga pingat emas setakat ini.
Tiga pingat emas berkenaan dimenangi masing-masing oleh pelari pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 (cerebral palsy) lelaki; Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly menerusi acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran).
“Mereka (kontinjen Paralimpik negara) kemudian akan dibawa ke Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan (bagi meraikan kejayaan mereka),” katanya pada sidang media pada Rabu.
Pada masa yang sama, Khairy menegaskan kejayaan cemerlang dilakar atlet Paralimpik negara pada temasya sukan berkenaan memberi kesedaran kepada masyarakat di negara ini untuk mengiktiraf sumbangan golongan kurang upaya terhadap negara.
Dalam perkembangan sama, Khairy mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membuat pembayaran pencen bulanan sebanyak RM2,000 kepada bekas atlet Paralimpik negara, P. Mariappan bermula Oktober ini.
Beliau menjelaskan walaupun Mariappan tidak lagi mewakili negara, pihaknya tidak pernah melupakan sumbangan Mariappan yang menyumbang gangsa dalam acara powerlifting pada Sukan Paralimpik 1988 dan 1992 di Korea Selatan dan Sepanyol.
Khairy menambah kata, MSN bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada Mariappan selaku jurulatih di Pusat Kecemerlangan Paralimpik namun terpulang kepada Mariappan sama ada untuk menerima tawaran itu.
“Kesemua pemenang pingat Sukan Paralimpik terdahulu turut akan menerima pencen bulanan,” katanya.
Di bawah skim imbuhan tetap MSN, atlet Paralimpik negara yang meraih pingat emas akan menerima pencen bulanan berjumlah RM5,000; pingat perak (RM3,000) manakala pemenang pingat gangsa menerima RM2,000.
Terdahulu, Khairy hadir pada majlis penyerahan kereta kepada pemenang pingat Sukan Olimpik Rio 2016 di Pusat Kecemerlangan Proton.
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang meraih pingat perak ketiga berturut-turut sejak edisi 2008 di Beijing, menerima sebuah kereta Proton Perdana 2.4L yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom dan Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar.
Beregu lelaki negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong, beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying serta pasangan terjun seirama negara, Pandelela Rinong/Cheong Jun Hoong yang meraih perak, menerima kereta Proton Suprima S 1.6L Turbo Premium setiap seorang.
Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang yang meraih gangsa dalam acara keirin, menerima sebuah kereta Proton Persona baharu namun beliau tidak hadir pada majlis itu. – Bernama