Semua keputusan di tangan saya

Menurutnya, bekas Ketua Menteri itu menyerahkan semua keputusan kepadanya sebaik sahaja meletak jawatan lebih dua tahun lepas.

“Saya punyai hubungan yang baik dengan Tun Taib tetapi beliau tidak campur tangan dalam hal pentadbiran saya.

“Beliau memberitahu saya jika inginkan nasihat beliau boleh beri, tetapi keputusan terletak sepenuhnya di tangan saya,” katanya berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Kuching City Mall di sini.

Berucap di hadapan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah, Adenan amat berharap pengundi Cina akan memilih calon-calon SUPP.

“Saya tahu pada 2011 (Pilihan Raya Negeri) pengundi Cina ada banyak sebab kenapa tidak memilih BN,” katanya.

Justeru, pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini beliau meminta agar pengundi Cina mengundi calon-calon SUPP.

Di Batu Kawah, BN menampilkan Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian yang akan ditentang calon daripada DAP dan Bebas.

Adenan berkata lagi, jika masyarakat Cina mahu mereka mempunyai perwakilan dalam kabinet negeri, mereka harus mengundi calon-calon daripada SUPP.

Banyak sebab mengapa masyarakat Cina perlu menyokong Adenan dan BN, katanya.

Antaranya, beliau telah memberi peruntukan khas kepada sekolah-sekolah Cina, dan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Kita juga tidak mahu orang Cina dipanggil sebagai pendatang kerana mereka telah tinggal di sini sejak turun-temurun,” katanya.

Related posts

PRN Sarawak ke-11 telan belanja RM135.6 juta

Itu hak Adenan – Masing

Nazri umum peruntukan RM210,000 untuk 41 ranting PBB Pantai Damai