Satu mesyuarat di antara kementerian dengan agensi berkenaan diadakan dua hari lalu bagi membincangkan perkara itu dan JKDM telah menyatakan komitmen kepada kementerian untuk meningkatkan langkah-langkah penguatkuasaan yang diperlukan.
Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, kementerian memang bekerjasama dengan JKDM dalam mengatasi masalah penyeludupan barangan bersubsidi ke negara jiran dan kali ini kementerian meminta tahap pemantauan ditingkatkan.
“JKDM, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan pasukan penguat kuasa yang lain sentiasa menjalankan pemantauan di kawasan sempadan, namun kali ini tahap pemantauan perlu ditingkatkan.
“Minyak masak bersubsidi merupakan barangan kawalan yang dilarang dibawa keluar dari negara ini melainkan dengan kelulusan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), jadi sesiapa yang didapati melanggar peraturan ini akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya, memetik Utusan Online.
Kerajaan mengumumkan langkah rasionalisasi minyak masak berkuatkuasa 1 November lalu dengan harga minyak masak botol dijual mengikut pasaran terbuka manakala harga minyak masak peket satu kilogram dijual pada harga subsidi RM2.50.
Berikutan itu, bekalan minyak masak termasuk yang tidak bersubsidi berkurangan di pasaran, namun tinjauan mendapati minyak masak Malaysia ‘berlambak’ di Golok, Thailand.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu KPDNKK dan Aksem memperhebatkan kawalan di sempadan bagi mengekang kegiatan penyeludupan minyak masak.
Dalam pada itu, Mohd. Roslan berkata, KPDNKK sedang menjalankan kajian mengenai saranan Timbalan Perdana Menteri yang mahu satu mekanisme penentuan harga minyak masak tidak bersubsidi diwujudkan untuk mengurangkan beban rakyat.
Mohd. Roslan Mahayudin berkata, pelbagai aspek perlu dikaji sebelum mekanisme itu diwujudkan termasuk kos operasi dan harga minyak masak mentah di pasaran terbuka.
“Harga RM2.50 untuk minyak masak peket satu kilogram adalah munasabah, namun KPDNKK bersedia untuk menjalankan kajian agar satu mekanisme penentuan harga minyak masak tidak bersubsidi dapat diwujudkan,” katanya.