Selepas Nik Elin, Pihak Lain Juga Boleh Cabar Enakmen Jenayah Syariah Negeri

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar tidak menolak kemungkinan ada pihak-pihak yang akan mencabar Enakmen Jenayah Syariah di negeri-negeri lain, susulan keputusan mahkamah yang berpihak kepada Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Tambahnya lagi, perbuatan itu jelas akan memudahkan mana-mana pihak melakukannya dengan alasan peruntukan tersebut tidak berpelembagaan.

“Apa yang diputuskan dalam kes Nik Elin tu telah membuka ruang yang luas di mana-mana pihak untuk mengemukakan cabaran terhadap apa-apa peruntukan atau undang undang sebagai tidak berpelembagaan,” katanya dalam sidang usul Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan tambahan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) berhubung Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Menggubal Undang-undang Syariah, hari ini.

Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu.

Dalam pada itu, Mohd Na’im mengakui sukar untuk kerajaan menghalang mana-mana pihak daripada mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan bagi mencabar apa-apa peruntukan atau undang-undang digubal kerajaan negeri.Beliau menjelaskan, perihal memfailkan permohonan mencabar sesuatu undang-undang digubal Parlimen atau badan perundangan negeri diperuntukkan dalam Perkara 128(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Agak sukar untuk menghalang mana-mana pihak daripada mencabar apa-apa peruntukan kerana keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin… walaupun kita tengok biasanya pihak yang mahu memfailkan locus standi (bagi) mencabar sesuatu peruntukan.

“Dalam kes Nik Elin, walaupun tidak terbabit secara langsung atau locus, Mahkamah Persekutuan memutuskan dia mempunyai locus untuk mengemukakan permohonan mencabar peruntukan di Kelantan,” katanya.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia