KBS menerusi Menterinya, Khairy Jamaluddin menyerahkan cek bernilai RM100,000 manakala FAM mengumumkan pemberian RM50,000 kepada Faiz pada sidang media sempena menyambut ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang Rabu.
“Sebelum masuk ke bilik ini, KBS telah menyerahkan cek bernilai RM100,000 kepada Faiz,” kata Khairy yang turut hadir menyambut ketibaan wira negara itu.
Pada masa sama, Timbalan Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah turut berkata menerusi perbincangan bersama Exco FAM, badan induk bola sepak negara itu bersetuju memberikan insentif RM50,000 sebagai menghargai sumbangan Faiz dalam mengharumkan nama negara.
Malah, katanya, FAM turut akan mempertimbangkan untuk mewujudkan kategori khas bagi jaringan tercantik pemain tempatan dalam anugerah bola sepak negara.
“Kita ada kategori dan tiada masalah, Insya-Allah kita akan pertimbangkan,” katanya.
Sementara itu, Faiz berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada KBS dan FAM di atas pemberian insentif tersebut.
“Saya akan cuba lakukan yang terbaik pada musim 2017 dan bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad Pulau Pinang,” katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengundi beliau bagi anugerah tersebut.
“Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengundi saya begitu juga kepada rakan media yang tidak putus-putus mempromosikan undian kepada saya,” katanya.
Terdahulu, Faiz tiba di KLIA menggunakan pesawat Emirates E346 dari Dubai kira-kira pukul 3.15 petang.
Faiz mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.
Pemain berusia 30 tahun itu mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi pemain Portugal, Cristiano Ronaldo pada 2009.
Faiz, yang meraih 59.46% undi, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukannya, keluarga dan peminat yang menyokongnya, memetik mStar Online.