Sazali kecewa ada pihak cuba jatuhkan kariernya

Beliau tidak menerima hukuman mandatori empat tahun serta denda yang dikenakan oleh Pihak Persatuan Bina Badan Malaysia (PBBM) dan akan mencabar keputusan rayuan berkenaan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Sazali kesal dengan perjalanan dan layanan terhadap rayuan yang diterima daripada pihak PBBM kerana disifatkan sebagai tidak adil malah tidak mengikut Kod Agensi Anti – Doping Dunia (Wada) 2015.

“Saya tidak pernah dipanggil untuk pendengaran terhadap rayuan, tidak dimaklumkan individu yang menganggotai jawatankuasa rayuan PBBM malah pihak saya serta peguam tidak mendapat arahan untuk menghadiri pendengaran jadi di mana ruang membela diri?

“Paling tidak profesional keputusan yang diputuskan tidak mengandungi sebarang alasan penolakan terhadap rayuan saya dan emel daripada PBBM hanya menyebut hukuman dikekalkan tanpa sebab. Jadi saya mempersoalkan profesionalisme PBBM dalam mengendalikan rayuan ini secara adil dan saksama, “katanya ketika sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu yang digelar ‘Orang Besi Malaysia’ itu menjelaskan sejak mula peluang dan ruang tidak diberikan kepadanya untuk mendapatkan nasihat dalam ujian sampel B dan dipaksa bersendirian menghadapi jawatankuasa disiplin PBBM.

“Laporan terhadap sampel A serta laporan pendengaran di hadapan jawatankuasa disiplin juga tidak pernah diberikan kepada saya sehingga hari ini.

“Ini membuktikan PBBM tidak profesional dalam mengendalikan proses menjatuhkan hukuman terhadap saya iaitu bermula daripada jawatankuasa disiplin hinggalah jawatankuasa rayuan. Pada mulanya saya dan peguam, Mohd Norasmawi Norani bertindak positif dan berharap perubahan dilakukan semasa proses rayuan namun ternyata meleset apabila PBBM terus membelakangi Kod Wada 2015 sehingga kes doping saya gagal secara keseluruhannya,”katanya.

Menurut Sazali melihat kepada keputusan rayuan iaitu penggantungan selama empat tahun ia sama seperti beliau melarikan diri daripada menjalani ujian doping, ada masalah disiplin, sengaja ambil bahan terlarang sedangkan ia tidak seperti itu.

“Kerana ini kesalahan pertama kali saya dengan tidak sengaja serta tiada niat untuk melaksanakan perbuatan tersebut.

“Malah saya tak pernah lari atau gagal dalam ujian doping selama 25 tahun penglibatan dalam sukan bina badan yang sangat saya minati. Segala sumbangan saya kepada negara lenyap begitu saja tanpa diambil kira oleh PBBM, “katanya.

Beliau menyatakan sekiranya PBBM mengikut Kod Wada 2015 dalam mengendalikan kes dopingnya pastinya ia dapat diterima dengan hati terbuka.

” Bagi mereka yang ingin melihat saya gagal, ketahuilah saya akan terus bersemangat dan bangkit dalam memperjuangkan sukan bina badan hingga akhir hayat.

“Saya juga bertekad untuk terus berjuang mengharumkan nama negara selepas empat tahun jika diizinkan ALLAH, sukar untuk saya hadapi hukuman empat tahun dan saya berharap rakyat Malaysia terus menyokong, “katanya. – Sinar Harian

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2