Saya tidak tengok jam dia, kata Khairy

Beliau berkata, pegawainya itu tidak mempamerkan gaya hidup mewah ketika berada di pejabat susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

“Saya secara peribadi saya tidak tahu..sebab saya lihat dia biasa sahaja di pejabat. Apa yang didakwa dalam laporan media berkenaan gaya hidup beliau, tidak dipamerkan sewaktu kerja

“Di pejabat saya tidak perasan, sebab saya tidak tengok jam dia,” katanya di dalam sidang media di Ibu Pejabat UMNO hari ini.

Khairy berkata demikian ketika mengulas berkenaan kes melibatkan pegawainya yang kini direman SPRM selepas disyaki terlibat dengan kegiatan sindiket penyalahgunaan dana kerajaan mencecah lebih RM100 juta.

Pegawai berkenaan menurut Khairy bertugas di bahagian kewangan kementerian berkenaan sejak tahun 1998 tanpa ditukarkan ke mana-mana bahagian lain.

Dalam masa yang sama, beliau berkata bahawa prestasi pegawai terbabit disifatkan sebagai biasa dan langsung tidak menunjukkan gaya hidup mewah sehingga terbongkarnya kes berkenaan.

“Prestasi beliau, saya melihat dari segi tugas-tugas biasa dia menjalankan tugas seperti biasa, tetapi kita tidak tahu berkenaan dengan kes ini. Dari segi benda lain, tidak ada apa-apa yang luar biasa,” tambah Ahli Parlimen Rembau itu lagi.

Susulan daripada itu, Khairy enggan mengulas lanjut berkenaan kes terbabit bagi memberikan laluan kepada pasukan petugas khas untuk menjalankan siasatan.

Beliau turut menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara telus dengan kerjasama penuh akan diberikan oleh pihak kementeriannya.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia