“Saya tidak kisah orang kata saya jual album dan menyanyi percuma di Mydin” – Anuar Zain

Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 47, berkata, itu antara resipi yang diamalkannya agar tidak menimbulkan jurang kemesraan antaranya dengan peminat.

“Sejak dulu saya sering tekankan… peminat adalah segala-galanya dan demi mereka, saya tidak kisah seandainya perlu ketepikan seketika nilai-nilai eksklusif asalkan mereka rasa dekat dan dihargai.

“Malah saya tidak kisah langsung bila orang mula berkata saya menjual album di pasar raya Mydin dan membuat persembahan secara percuma di sana.

“Biar saya dilihat mencari peminat kerana saya tahu di situ akan membuatkan mereka rasa lebih dihargai, itu lebih bermakna buat saya,” katanya memetik mStar Online.

Dalam pada itu katanya, tidak ramai yang melihat potensi pada Mydin tetapi syarikatnya Anuar Zain Network Sdn Bhd begitu teruja untuk berkolaborasi dengan pasar raya itu yang dilihat antara gedung beli-belah pilihan rakyat Malaysia.

“Apa yang boleh saya katakan, menjadi artis pertama bekerjasama dengan Mydin adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran saya sebelum ini.

“Impaknya sangat positif dan seharusnya saya rasa amat bersyukyur kerana selama berpeluang mengadakan show di sana, saya rasa begitu dekat dengan peminat dari latar belakang berbeza”, ujarnya.

Tambahnya lagi, kesudian pihak Mydin untuk sama-sama terlibat dalam projek Anuar Zain Album Tour 2017 membuatkan dirinya rasa cukup berbesar hati.

Anuar Zain Album Tour 2017 akan menjalankan promosi di enam rangkaian Mydin seluruh Malaysia iaitu Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan tiga lokasi di Mydin Mall Sarawak pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Related posts

Jaafar Onn Meninggal Dunia

Lil John Mendapat Hidayah di Bulan Puasa

Selain solat dan puasa, Lindsay Lohan akui tenang baca al-Quran