Saya tidak akan berdiam bila MIC difitnah – Subramaniam

Kata Subramaniam, tindakan mereka yang agak melampau itu menguji kesabaran beliau kerana MIC sedang melalui proses transformasi dalam segala aspek secara drastik di bawah kepimpinannya.

Katanya, MIC kini berwajah baharu dan menuju ke arah pemulihan dan kesejahteraan menyeluruh menerusi pelan perancangan pembangunan komuniti India.

“Semua pihak sedia maklum apa yang sedang berlaku dan dilakukan oleh pemimpin dalam parti berusia 70 tahun ini selepas mengharungi saat getir beberapa tahun lalu.

“Namun, agak menyedihkan terdapat pihak luar yang membidas dan memburukkan parti dan kepimpinannya setiap hari dengan pelbagai kenyataan dan tohmahan berniat jahat dan tidak berasas.

“Peringatan tegas kepada mereka bahawa saya tidak akan berdiam diri selepas ini, adalah lebih baik mereka menghentikan segera perbuatan jijik mereka,” katanya selepas menyempurnakan Persidangan Perwakilan Perhubungan MIC negeri Selangor ke-70 semalam.

Mengulas lanjut perkara itu, MIC selama ini mengambil pendirian tidak bertindak ke atas pihak luar yang asyik mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur fitnah.

Pun begitu kata Menteri Kesihatan itu lagi, selepas ini beliau tidak akan berdiam diri kerana tindakan mereka menguji kesabarannya dan melampaui batasan.

“Jika mereka tidak menghentikan perbuatan biadab itu, saya tidak akan berkompromi lagi selepas ini dan berharap mereka boleh mengawal tingkah laku mereka selepas ini.

“Mereka sesuka hati mengeluarkan macam-macam kenyataan tidak baik mengenai parti dengan sangkaan kononnya MIC lemah.

“Tetapi jika kita berjaya menepis sangkaan buruk mereka, kita akan dapat menunjukkan kekuatan MIC,” ujarnya lagi.

Beliau mengharapkan komuniti India dan pemimpinnya bersatu di bawah satu payung dalam memperjuangkan suara keramat komunitinya menerusi MIC.

“Menyebarkan fitnah dan mengelirukan masyarakat India dengan kenyataan tidak berasas dan boleh menjatuhkan imej MIC adalah perbuatan tidak akan menguntungkan sesiapa dan ia hanya umpama meludah di atas diri sendiri,” tegasnya lagi. – Malaysia Nanban

Related posts

Guan Eng perlu berundur jika pembangkang berbaik semula dengan PAS – MCA

Jawab masalah India yang dilaporkan akhbar Tamil, bukan menentang – DAP Perak

Jelaskan dakwaan ‘Melayu terabai di Pulau Pinang’ kepada polis -Ram Karpal