‘Saya sedih mengecewakan 30 juta rakyat Malaysia’

Pada aksi final itu, Chong Wei tewas straight set, 18-21, 18-21 kepada Chen Long bagi meraih pingat perak ketiganya selepas merangkulnya di Beijing pada 2008 dan London empat tahun lalu

Selepas berjaya menumbangkan musuh ketatnya dari China, Lin Dan pada aksi separuh akhir kelmarin yang menjadi penghalangnya untuk dia meraih pingat emas pada dua Olimpik sebelum ini, Chong Wei dilihat mempunyai potensi besar untuk muncul juara kali ini dan menamatkan kemarau pingat emas. Bagaimanapun harapan itu tidak bertukar menjadi kenyataan.

Set pertama menyaksikan Chong Wei bermula agak hambar apabila ketinggalan empat mata sebelum kembali mengejar kedudukan menjadi 5-4 dan berjaya menamatkan separuh perlawanan dengan berada di depan pada kedudukan 11-7 namun Chen Long kembali mengejar kedudukan untuk menyamakan kedudukan pada mata 13-13.

Beberapa kesilapan ketika bermain di jaring pada lapan mata terakhir membolehkan pemain China itu lebih selesa untuk terlebih dahulu berada di mata penamat dan mengakhiri perlawanan dengan keputusan 21-18 dalam tempoh 35 minit.

Set kedua tidak berjalan lancar buat Chong Wei apabila ketinggalan 1-4 sebelum kembali mendahului dengan 8-5 namun Chen Long kembali memperkemaskan aksi untuk meraih enam mata berturut-turut sebelum mereka berhenti rehat di pertengahan perlawanan.

Sebaik menuju ke 10 mata terakhir, kedua-dua pemain mempamerkan aksi cukup sengit sehinggalah Chong Wei tersekat di mata ke-16 dan Chen Long terus mengorak langkah untuk berada di mata akhir sebelum menamatkan permainan selepas Chong Wei berjaya mengutip dua mata berikutnya.

Menurut Chong Wei, dia sedar bahawa kekalahan ini sangat mengecewakan 30 juta rakyat Malaysia namun dia sudah memberikan yang terbaik terutama ketika Rio mungkin menjadi pentas Olimpik terakhir buatnya.

“Perlawanan hari ini (Sabtu) saya sudah cuba yang terbaik, tetapi Chen Long beraksi sangat baik. Apa yang saya ada, apa yang saya buat masa latihan saya sudah berikan segala-galanya. Ini Olimpik terakhir, saya sudah cuba yang terbaik. Bukan saya seorang sahaja tetapi semua orang di Malaysia juga pasti kecewa.

“Mungkin hari ini Chen Long bersedia dengan baik, semua serangan saya berjaya dibalasnya dengan sempurna. Nak cakap saya gugup hari ini, saya fikir aksi kali ini lebih baik daripada Olimpik London 2012 dan Kejuaraan Dunia. Saya rasa hari ini bukan hari saya dan terima kekalahan ini,” ujarnya.

Rekod pertemuan menyaksikan kedua-dua pemain itu berkongsi jumlah kemenangan dan kekalahan yang sama daripada 26 pertemuan dan kali terakhir mereka bertemu adalah pada Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China pada Mei lalu yang dimenangi oleh Chong Wei. – Kosmo Online

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2