Saya nak balik, saya rindu ayah!

Ditambah lagi, perkhabaran tentang keluarga mereka di Arakan Myanmar tidak diketahui, sama ada sedang berselindung menyelamatkan diri, dizalimi ataupun telah mati dibunuh.

Ketika Misi Kemanusiaan ke Kem Pelarian Rohingya, Acheh Indonesia 31 Mac hingga 2 April lalu, penulis sempat berbual dengan anak-anak Rohingya disitu, mereka ternyata sangat merindui ibu ayah mahupun keluarga yang terpisah.

Tidak kurang juga ada yang telah meninggal dunia dibunuh sebelum anak-anak kecil itu dibawa menyelamatkan diri menaiki kapal.

Ada juga ahli keluarga mereka yang meninggal di atas kapal disebabkan berbulan-bulan tidak makan.

Kem pelarian itu diduduki oleh kira-kira 100 orang dan 30 peratus daripadanya adalah kanak-kanak berusia 14 tahun ke bawah.

Ada dari kalangan mereka menyelamatkan diri bersama keluarga, dan tidak kurang juga lari keseorangan bersama yang lain.

“Saya nak balik, saya rindu ayah!,” ujar Jabir Ridhuwan, 8, ketika ditemui di kem pelarian Bayuen, Acheh Utara.

Walaupun ungkapan itu dengan nada yang ceria, namun di raut wajahnya terserlah kesedihan yang jelas nyata.

Beliau sangat berharap dapat bertemu dengan kedua ibubapanya selepas sekian lama terpisah.

Difahamkan, ibu bapa Jabir gagal untuk bersama-sama menyelamatkan diri kerana ruang kapal yang tidak mencukupi.

Oleh yang demikian, Ibubapanya mengarahkan pelarian yang lain membawa anaknya itu lari menyelamatkan diri keluar daripada negara asal mereka.

Walaupun beliau tinggal di kem pelarian itu tanpa keluarga dan ibu bapanya, Jabir tetap gembira kerana dapat melalui kehidupan dengan penuh tenteram dan aman tanpa ancaman musuh.

Setiap hari, beliau dapat bersama rakan-rakannya yang lain melakukan rutin harian dengan suasana penuh kegembiraan.

Menurut pihak pengurusan kem pelarian itu, abang kandung Jabir antara yang menyelamatkan diri menaiki kapal bersamanya, namun abangnya itu mati selepas berbulan-bulan kapal terdampar di tengah lautan tanpa bekalan makanan.

Mayat abangnya itu difahamkan telah dicampakkan ke laut bersama puluhan yang lain.

Setiausaha Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor berkata, beliau sangat tertarik untuk mengenali Jabir dengan lebih dekat sebaik bertemu kanak-kanak itu.

Jabir katanya menyambut kehadiran peserta misi kemanusiaan itu dengan penuh kegembiraan dan tidak kekok untuk bersama.

“Beliau (Jabir) seorang insan yang tabah, seolah tidak berlaku apa-apa pada dirinya. Namun, apabila pihak pengurusan menceritakan kisah Jabir, hati saya sangat tersentuh dan kagum dengan ketabahan kanak-kanak itu.

“Saya sangat gembira dapat bertemu dengan beliau, secara tidak langsung mengajar diri ini erti syukur,” katanya ketika ditemui.

Mohd Hakim menyatakan, Serantau Muslim akan terus berusaha mengumpul sumbangan dalam membela nasib pelarian Rohingya yang dizalimi ini khususnya anak-anak kecil seperti Jabir.

Jelas beliau, pihaknya komited dalam usaha memastikan anak-anak Rohingya ini dapat belajar dan menuntut ilmu walaupun berada di kem pelarian itu.

“Aspek pendidikan antara yang menjadi keutamaan kami selepas ini. Mereka mungkin berada di kem ini dalam satu jangka masa yang lama, oleh yang demikian, program-program pengisian rohani dan jasmani perlu dijalankan.

“Kami mengharapkan mereka (pelarian) khususnya anak-anak dapat bersedia daripada pelagai aspek terutama ilmu pengetahuan sebelum beliau kembali ke negara asal mereka,” jelasnya lagi.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia