Barisan kabinet yang meletakkan beliau sebagai perdana menteri itu katanya merupakan salah satu propaganda UMNO terhadap DAP dan percaya ianya dilakukan oleh penyokong-penyokong UMNO dan BN.
Kabinet tersebut menamakan beliau selaku perdana menteri manakala Tun Dr Mahathir Mohamad selaku timbalannya.
“Mana mungkin saya akan diangkat sebagai PM. Lebih tidak masuk akal, Tun M pula dinamakan menjadi timbalan saya.
“Buat pertama kali dalam sejarah 60 tahun negara, saya disenaraikan dalam dua jawatan penting negara dan dibantu Tun M,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Georgetown, Pulau Pinang pada Selasa.
Kit Siang berkata, tindakan dari cyber troopers UMNO dan BN dengan mewujudkan senarai Kabinet palsu adalah dengan tujuan untuk menakut-nakutkan rakyat.
“Saya agak berbesar hati kerana ini kali pertama saya dilihat bakal menjawat jawatan PM.
“Dalam 51 tahun saya dalam dunia politik, tidak pernah terlintas di fikiran untuk jadi PM,” kata Penasihat DAP itu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung senarai barisan Kabinet yang dinamakan Barisan Kerajaan Baru 2017 Pakatan Harapan yang viral di media sosial.
Turut tersenarai dalam senarai itu adalah 22 nama pemimpin pembangkang serta portfolio masing-masing antaranya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Nga Kor Ming, Mahfuz Omar, Tony Pua, Gobind Singh Deo, Anthony Loke, Tian Chua, Khalid Samad dan Rafizi Ramli.
Kit Siang berkata, beliau percaya Tun M juga tidak mahu kembali menyertai Kabinet berikutan faktor umur.