Saya berjaya ubah FAM, TMJ

Menurut kenyataan beliau hari ini, tiada apa yang lebih dibanggakan melainkan kejayaannya itu mengubah sistem yang sudah 30 tahun lamanya dan berikrar akan memulakan sesuatu yang baru dan lebih baik demi kelangsungan bola sepak negara.

“FAM dikawal oleh sekumpulan individu dan sistem yang mengawal bola sepak Malaysia dengan budaya mementingkan diri sendiri. Tidak ada seorang pun yang dapat mengubah FAM selama lebih dari 30 tahun. Kemudiannya pada suatu hari, seorang pemuda yang begitu sayangkan bola sepak telah datang dan mengambil alih pentadbiran pasukan negeri yang dicintainya. Seorang lelaki yang menyedari bahawa satu-satunya cara untuk mengubah bola sepak malaysia adalah dengan mengubah keseluruhan sistem.

“Lelaki muda ini terpaksa berjuang dengan sistem FAM, ahli politik, penyokong bola sepak Malaysia yang jahil, media dan laman sosial, serta orang-orang yang hanya tahu bercakap tetapi enggan menukar sistem. Hari ini, Exco bersetuju untuk bersara bersama-sama dengan Presiden. Pilihan raya akan diadakan dan muka baru akan dipilih untuk mengendalikan bola sepak Malaysia. Kepakaran luar akan dibawa masuk untuk menambah baik sistem sedia ada dan hari ini saya dengan perasaan bangga ingin menyatakan bahawa lelaki muda tersebut yang benar-benar sayangkan bola sepak dengan impian besarnya dan pernah juga digelar “budak mentah”, telah mengalahkan rejim 30 tahun FAM. Seperti pernah saya katakan sebelum ini, saya akan memusnahkan apa yang mereka bina dari awal dan membina semula ianya dengan lebih baik,” katanya melalui satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Johor Souther Tigers hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau menolak cadangan yang mana dirinya dinamakan sebagai pengganti bagi memegang tampuk kepimpin FAM selaku Presiden.

Menurut beliau, jawatan berkenaan hendaklah dipegang oleh individu yang neutral dan tidak mempunyai sebarang kepenting termasuklah bukan dari golongan diraja.

Jelas Tunku Ismail, ini bagi mengelakkan wujudnya unsur rasuah dan juga sikap pilih kasih.

“Saya tidak bersetuju untuk menjadi Presiden FAM kerana saya sudah mempunyai JDT. Akan ada konflik kepentingan kerana saya akan lebih cenderung ke arah negeri saya. Seperti yang saya nyatakan berpuluh-puluh kali sebelum ini, kita perlu mencari seseorang yang tidak mempunyai sebarang pertalian dengan mana-mana persatuan bola sepak negeri atau kelab-kelab yang mengambil bahagian,” tambah Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu lagi.

Tegasnya, tindakan yang diambil beliau itu membuktikan bahawa beliau bukanlah seseorang yang mementingkan diri sendiri, pemanipulasi, dan terbabit dalam gejala rasuah.

“Kerana jika saya adalah sedemikian rupa, saya pasti akan menerima tawaran untuk menjadi presiden sekarang ini.”

Kenyataan penuh TMJ boleh dibaca di Facebook Johor Souther Tigers yang mana turut menyentuh mengenai pelantikan beliau selaku Pengerusi FAM, Pengerusi Pasukan Kebangsaan dan Ketua Kongres FMLLP.

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2