Saya berjaya halang plot guling Najib -Khairul Azwan



Tegas Khairul, sudah menjadi tanggungjawab beliau untuk mempertahankan Najib sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional.

“Kami berasa bersyukur dan gembira kerana berjaya mematahkan satu cubaan untuk menggulingkan beliau (Najib) dan kami komited untuk terus melaksanakan tanggungjawab kami ini.

“Saya ingin memesan kalau ‘kamu’ menyerang Najib Razak, bermakna kamu menyerang UMNO BN dan apabila kamu menyerang parti, kami akan bangkit membalas.

“Kami akan memastikan taggungjawab yang diamanahkan ini untuk mempertahankan kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti,” tegasnya dalam satu sidang media di Akademik Kepimpinan Kapten Hussien di Kelana Jaya di sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Selasa telah menghentikan siasatan terhadap laporan yang dibuat Khairul pada 26 Julai lalu berhubung tiga individu, yang dikatakan terbabit dalam satu konspirasi menjatuhkan Najib dan kerajaan Malaysia.

Kata Khalid, siasatan dihentikan kerana siasatan awal polis mendapati laporan yang dibuat oleh Khairul Azwan itu hanya berdasarkan andaian sahaja selepas memanggil Khairul untuk diambil keterangan.

Khairul bagaimanapun menegaskan laporan polis yang dibuat beliau bukan berdasarkan andaian walaupun tidak menyatakan dengan jelas asas kepada laporan polis yang dibuat beliau.

“Ia bukan andaian. Ia satu laporan polis yang saya buat. Saya telah buat laporan polis dan saya difahamkan Ketua Polis Negara tidak akan meneruskan siasatan dan tiada tindakan yang diambil terhadap saya.

“Laporan polis itu berdasarkan keyakinan dan kepercayaan saya dan saya melakukan perkara tersebut untuk meminta polis menyiasat. Saya sendiri mahu buat laporan polis,” katanya.

Mengulas mengenai laporan polis yang dilakukan beliau tidak dibincangkan dalam mesyuarat Pemuda UMNO, Khairul menjelaskan perkara telah dibincangkan kemudian.

Tambah beliau, laporan itu merupakan salah satu langkah untuk mendidik rakyat supaya menghormati sistem demokrasi di negara ini.

“Laporan ini adalah satu usaha untuk mendidik rakyat menghormati sistem demokrasi negara dan perundangan negara,” katanya.

Beliau juga menolak dijadikan ‘kambing hitam’ oleh pihak tertentu susulan daripada laporan polis itu.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri