Satu dari tiga mangsa lemas Sungai Sempit berjaya ditemui

MANJUNG: Mayat seorang daripada tiga remaja lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Sempit, Kampung Tanjung Batu, Segari, dekat sini, semalam, ditemui pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata mayat Chew Darumaraj, 14, ditemui pada jam 9.05 pagi, kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa yang masih hilang iaitu G Sarath dan T Eishwarpillai, masing-masing 16 tahun, sedang giat dilakukan.

Sebelum ini, media melaporkan tiga sekawan dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Sempit.

Identiti tiga sekawan terbabit dikenal pasti sebagai Chew Darumaraj, 14; G Sarath, 16; dan T Eishwarpillai, 16.

Semalam, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.26 petang.

Operasi SAR mengesan remaja berkenaan disambung semula jam 8 pagi tadi dengan Bomba menambah dua lagi bot menjadikan semuanya lima bot, selain Unit Anjing Pengesan K9 membuat pencarian.

“Skop pencarian membabitkan empat bot di kedua-dua arah Sungai Sempit kerana sungai ini berhampiran muara dan mengalami air pasang dan air surut menyebabkan aliran air berlaku di kedua-dua arah.

“Sebuah lagi bot akan bersedia berhampiran muka muara bagi memastikan mangsa tidak hanyut masuk ke laut. Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) akan membuat ‘size up’ dan pemantauan di lokasi sekitar mangsa dipercayai tenggelam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tinjauan mendapati, sungai itu terletak di dalam kawasan ladang sawit berjarak dua kilometer (km) dari jalan utama dan hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, siasatan awal pihaknya di lokasi kejadian mendapati, ketiga-tiga mangsa sedang memancing dan seorang daripadanya mandi di sungai tersebut sebelum dikatakan dihanyutkan arus.

“Dua lagi rakan cuba menyelamatkannya tetapi turut dihanyutkan arus,” katanya dalam kenyataan, malam tadi. -Berita Harian

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia