KUALA LUMPUR: Seorang pegawai rendah polis yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan kes rogol pelajar tingkatan empat di Perak Tengah sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri sambil berkata, kertas siasatan juga sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP), minggu lalu.
Menurut beliau, pihaknya sedang menunggu arahan lanjut daripada DPP bagi tindakan seterusnya.
“Sekarang kita tunggu arahan daripada DPP sama ada teruskan dengan tuduhan atau perlu siasatan lanjut lagi,” katanya selepas ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina 2024, peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Peak di Plaza Tol Lekir Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat, pada Isnin.
Bulan lalu media melaporkan seorang anggota polis berpangkat sarjan yang disyaki terlibat dalam kejadian merogol pelajar perempuan Tingkatan Empat, tahun lalu ditahan pada 28 Januari lalu.
Permohonan reman ke atas suspek berusia 42 tahun itu dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.Anggota yang juga timbalan ketua polis balai sekali lagi direman bagi siasatan kes rogol berlainan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.
Mengulas lanjut terhadap siasatan dalaman Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Mohd Yusri berkata, siasatan kes berkaitan anggota terlibat telah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
“Memang kita lihat baru-baru ini berlaku ketidakpatuhan integriti melibatkan warga polis. Saya jamin kes berkenaan disiasat secara telus dan adil,” katanya. – Malaysia Gazette