KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Khamis atas pertuduhan merogol seorang remaja wanita berusia 16 tahun, pada bulan lalu.
Tertuduh, Sharil Amir Shaari, 42, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja wanita di dalam sebuah kereta yang di tempat letak kereta, di hadapan sebuah pasar raya di Persiaran Seri Iskandar Prima 1, Seri Iskandar.
Kesalahan dilakukan dalam daerah Perak Tengah pada jam 4 petang, 12 Januari lalu itu didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Jika disabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebat.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratun Khalifah sementara tertuduh diwakili peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.
Terdahulu, Ahmad Shamil meminta agar mahkamah dapat mengenakan hukuman minimum memandangkan anak guamnya itu hanya menerima separuh daripada jumlah pendapatan RM2,000 sebulan disebabkan perintah tahan kerja pada 5 Februari.
Katanya, tertuduh juga terpaksa menanggung seorang isteri dan lima anak.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, tanpa dikenakan sebarang syarat tambahan.
Mahkamah juga menetapkan 23 Mac depan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kesSebelum ini, Mahkamah Majistet Batu Gajah membenarkan tertuduh yang juga Penolong Ketua Polis Balai Parit ditahan reman sehari bermula 2 Februari lalu bagi membantu siasatan kes rogol remaja, sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis.
Tertuduh mula ditahan sejak 28 Januari lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dan dibawa ke Mahkamah Majistret Parit untuk permohonan reman sehingga 31 Januari.
Mahkamah sama kemudian membenarkan reman tertuduh dilanjutkan sehari lagi iaitu sehingga 1 Februari bagi siasatan kes rogol terhadap seorang lagi mangsa yang berlainan. – MalaysiaGazette