SHAH ALAM : Sarawak akan berkabung dua hari bermula hari ini sebagai penghormatan atas pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abu Bakar Marzuki, berkata majlis rasmi melibatkan acara hiburan perlu ditangguhkan.
“Bendera hendaklah dikibarkan separuh tiang,” katanya menurut Astro Awani.
Taib, 87, menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital di Kuala Lumpur kira-kira 4.40 pagi tadi dan jenazahnya akan diterbangkan ke Kuching kira-kira 1 tengah hari ini.
Jenazah Allahyarham akan ditempatkan di kediamannya di Demak Jaya, sebelum dibawa ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk penghormatan terakhir dari 8 pagi hingga 12 tengah hari esok.
Jenazahnya dijadual disemadikan di Tanah Perkuburan Demak Jaya, berhampiran kediamannya selepas solat Zohor esok. –Free Malaysia Today