SAMM diminta buat laporan SPRM isu Paya Indah Wet Land

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai Chegubard, tidak perlu takut untuk membuat laporan jika mempunyai bukti kukuh berlakunya salah laku dalam isu berkenaan.

Katanya, ia termasuk dakwaan bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertanggungjawab meluluskan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan pembangunan.

“Saya bersetuju dengan cadangan Menteri Besar Selangor yang mencabar pihak mempunyai maklumat mengenai perkara ini untuk membuat laporan kepada SPRM, malah kerajaan negeri juga dilaporkan bersedia memberi kerjasama dalam siasatan.

“Jadi, kita minta SAMM tampil melaporkan kepada SPRM dan kemuka segala bukti yang ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Ahad.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut kesal dengan sikap Mohamed Azmin yang mendiamkan diri berhubung isu itu.

“Sikap berdiam diri Menteri Besar Selangor menimbulkan pelbagai persoalan. Ia berbeza dengan empat Menteri Besar Selangor sebelum ini yang tidak bersetuju untuk tukar status tanah ini demi menjaga ekosistem alam semulajadi,” katanya.

Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Shariff mempersoalkan tindakan Mohamed Azmin yang didakwa menukar status tanah Paya Wetlands daripada pertanian kepada pembangunan.

Dakwanya, carian di Pejabat Tanah Kuala Langat sebelum ini mendapati tanah Lot 68054 seluas 619 hektar di Mukim Tanjong Dua Belas, Kuala Langat ini ditukar statusnya daripada kawasan hijau kepada pembangunan pada 2015. –BH Online

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia