Memetik laporan portal berita Rohingya Vision, kira-kira 30 sami melaungkan slogan menentang Najib di luar kedutaan itu kerana didakwa cuba campur tangan dalam hal ehwal Myanmar.
Mereka memegang sepanduk yang berbunyi: “Kutukan terhadap Perdana Menteri Malaysia, jangan beri tekanan kepada kerajaan Myanmar”.
Bantahan itu dibuat sehari selepas AFP melaporkan bahawa Najib akan mengambil bahagian dalam protes membantah kekejaman kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya.
Najib ketika berucap di Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam menegaskan kehadirannya atas faktor kemanusiaan dan bukan dengan niat mencampuri urusan dalaman Myanmar.
Kerajaan Myanmar melalui Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden Myanmar, U Zaw Htay yang memberi peringatan kepada Malaysia berkenaan dasar negara-negara Asean yang tidak mencampuri urusan dalaman mana-mana negara anggotanya.
“Menurut prinsip Asean, negara anggota tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota lain.
“Kami sentiasa ikuti dan hormati prinsip ini. Kami berharap kerajaan Malaysia akan terus mengikutinya,” beliau dipetik sebagai berkata.
Bagaimanapun, Wisma Putra mempertahankan protes yang dirancang dan menekankan bahawa apa yang berlaku di Myanmar merupakan isu kemanusiaan yang juga telah menjadi satu isu keselamatan untuk Malaysia.
Lebih daripada satu juta pelarian Rohingya tiba di Malaysia sejak beberapa tahun lalu untuk melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar.
Malaysia tidak mengiktiraf mereka sebagai pelarian dan dasar semasa adalah untuk menghantar mereka kembali selepas konflik di Myanmar selesai.
Kerajaan Myanmar menghadapi bantahan antarabangsa berikutan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di negara itu.
Myanmar tidak mengiktiraf masyarakat Rohingya sebagai rakyatnya.