Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya sentiasa bersama Najib dan akan terus memberikan sokongan penuh kepada Presiden UMNO itu.
“Bagi parti dan kerajaan, kami menyokong penuh perdana menteri dan kami berpandangan bahawa ia (tindakan guaman) adalah perlanjutan agenda politik untuk menggulingkan perdana menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program Kesedaran Disleksia Melalui Sukaneka di Padang Kelab Kilat TNB, pada Sabtu.
Rabu lalu, Tun Mahathir memfailkan saman terhadap Najib Razak atas dakwaan kemungkiran kewajipan fidusiari dan salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam.
Turut bersama Tun Mahathir dalam saman itu bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin dan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Najib merupakan defendan tunggal dalam tuntutan yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.
Dalam saman tersebut, mereka mendakwa Najib sebagai Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO telah menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai siasatan dan inkuiri berhubung skandal 1MDB berserta kemasukan dana dalam anggaran USD700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadi banknya.