Saman sivil Jabatan Kehakiman AS terhadap 1MDB tidak jejas hubungan, kata Najib

Najib berkata, pendirian kerajaan selama ini terhadap tadbir urus yang baik juga tidak berubah.

“Ini isu berbeza kerana ia berkaitan individu, dan tidak melibatkan kedudukan keseluruhan polisi kedua-dua negara.

“Perlulah di jelaskan bahawa ini merupakan tindakan sivil dan bukan tindakan jenayah. Dan dia terhad kepada nama-nama yang telah pun disebutkan dalam laporan DOJ.

“Oleh itu dari segi kerajaan kita akan bekerjasama sepenuhnya dengan semua pihak siasatan badan siasatan peringkat antarabangsa. Pendirian kita selama ini kita tidak mahu melihat apa-apa perbuatan yang boleh di melanggari apa-apa undang-undang,” katanya, ketika ditemui pemberita, pada Khamis.

Sehubungan itu beliau menyeru agar proses berkenaan dihormati dan mana-mana pihak yang terlibat mempunyai peluang untuk membela diri dan tiada kesimpulan awal tidak seharusnya dibuat selagi proses berkenaan belum selesai.

“Oleh itu proses perlulah dihormati. Maknanya seseorang itu ada peluang untuk membela diri sendiri atau guna proses kehakiman di mahkamah dan kita tidak sewajarnya buat apa-apa kesimpulan selagi proses belum selesai.

“Tapi maknanya kita pandang serius perkara ini dan tak ingin ada mana-mana pihak yang salah anggap bahawa kerajaan tidak mahu prinsip ‘good governance’ iaitu tadbir urus yang baik jadi satu yang akan sentiasa diperjuang oleh Malaysia,” katanya.

Kenyataan sama juga dikeluarkan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin awal hari ini berkata, dalam hal ini pihak berkuasa Malaysia telah mendahului dalam siasatan terhadap 1MDB.

“1MDB terdahulu telah menjadi subjek siasatan dalam Malaysia, termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Audit Negara, dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, selepas semakan komprehensif mendapati bahawa tiada kesalahan jenayah yang dilakukan 1MDB dan syarikat itu masih disiasat oleh Polis Diraja Malaysia.

“Namun seperti yang telah ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa undang-undang akan dikuatkuasakan, tanpa pengecualian, jika terbukti berlaku sebarang salahlaku,” katanya dalam satu kenyataan medianya, pada Khamis.

Tengku Sarifuddin berkata, saman Jabatan Kehakiman AS itu difailkan terhadap produser filem The Wolf of Wall Street ke atas pelbagai aset.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia