Walaupun tidak menyebutkan nama secara jelas, namun, ia dipercayai merujuk kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan BERSIH 5 ala ‘Arab spring’.
Beliau juga menyifatkan dakwaan itu adalah sebagai alasan yang sengaja dicipta oleh kumpulan tidak mahu menyertai perhimpunan haram itu.
“Terlalu bodoh orang yang mengatakan himpunan BERSIH meniru atau lanjutan daripada Arab spring. Kita tetap komited dengan demokrasi dan pilihan raya untuk mengambil alih kuasa bukan dengan cara yang lain.
“Mereka yang mengatakan himpunan BERSIH ala Arab spring adalah suatu kebodohan dan berpura-pura serta suatu alasan yang diada-adakan oleh mereka yang tidak mahu menyertai himpunan BERSIH 5 ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini PAS bertegas tidak akan menyertai perhimpunan BERSIH 5, sebaliknya mengadakan program khas buat ahli parti itu.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendakwa demonstrasi aman sudah diamalkan di Tanah Melayu sejak dari sebelum merdeka, semasa Malaya sehinggalah selepas pembentukan Malaysia.
Katanya, berbagai pihak,parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) sering mengadakan himpunan aman, tunjuk perasaan untuk menyatakan hasrat dan inspirasi mereka.
“Menjelang pilihan raya umum 2008, parti-parti politik dan NGO menjalankan usaha untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, kebebasan media serta ketelusan kakitangan kerajaan sehingga himpunan BERSIH di anjurkan pada 10 November 2007.
“Himpunan yang begitu besar melibatkan pimpinan politik utama, PKR, DAP dan Pas bersama NGO menghantar memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Tuntutan BERSIH yang di kemukakan berjalan dengan aman walaupun beberapa orang yang kemudiannya didakwa di mahkamah termasuklah saya sendiri.
“Himpunan ini diikuti dengan himpunan BERSIH 2, kemudian Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR), dan seterusnya BERSIH 4. Himpunan rakyat untuk menuntut keadilan terutama kebersihan dalam pilihan raya bermula lebih awal. Tidak ada kena mengena dengan Arab Spring yang berlaku dalam tahun 2011,” katanya.