Rang Undang-Undang Dewan Undangan (Ahli-Ahli Dipilih) (Pindaan) 2016 itu telah dibentangkan Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Teo Chee Kang dan mendapat sokongan 55 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir.
Chee Kang berkata, berdasarkan statistik terbaharu, jumlah pengundi di negeri ini meningkat seiring dengan pertambahan penduduk, justeru penambahan kerusi DUN itu membolehkan wakil rakyat memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat.
“Cadangan peningkatan kerusi ini adalah munasabah daripada segi menyediakan perwakilan demokrasi yang mencukupi dan berkesan untuk berkhidmat kepada setiap rakyat.
“Pertambahan ini juga sudah mengambil kira peningkatan jumlah penduduk, purata bilangan pemilih serta peningkatan kemudahan asas seperti infrastruktur dan jalan raya serta memastikan keadilan untuk wakil rakyat daripada semua kaum di negeri ini,” katanya dalam Sidang DUN pada Selasa.
Chee Kang berkata, berdasarkan Perlembagaan, kawasan pilihan raya perlu disemak tidak kurang lapan tahun, justeru langkah berkenaan amat bertepatan memandangkan kali terakhir dilakukan adalah 13 tahun lalu.
“Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Sabah boleh menambah kerusi DUN dengan mengubah jumlah ahli daripada 60 kepada 73 dengan satu undang-undang yang diperbuat oleh badan perundangan negeri ini,” jelas beliau.
Sementara itu, ADUN Matunggong, Datuk Jelani Hamdan ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan berkata, penambahan kerusi DUN itu boleh dilakukan di kawasan tertentu untuk memastikan setiap kaum dan etnik di negeri ini mempunyai wakil rakyat masing-masing.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan penambahan di kawasan seperti DUN Sikuati, DUN Langkon dan DUN Kanibongan serta enam lantikan yang tidak diisi selama ini perlu mengambil kira etnik yang tiada wakil rakyat dalam DUN seperti etnik Kimaragang dan Tobilung,” katanya. – Utusan Malaysia