Tegas Abdul Hadi, ahli Parlimen terutamanya dari kalangan bukan Islam seharusnya menghormati usul tersebut dan tidak mengganggu urusan umat Islam.
“Suka saya menjelaskan betapa perlunya perbahasaan usul ini di tangguh walaupun usul ini mengikut proses demokrasi mewakili ahli parlimen Islam sama ada PAS, UMNO dan lain-lain.
“Usul ini berkait dengan agama Islam sahaja iaitu perkara agama Islam bawah bidang Duli Yang Maha Mulia, yang tidak sepatutnya diganggu oleh kalangan bukan Islam.
“Saya beri peringatan pada mereka jangan berlagak seperti Ahok di Jakarta,” tegasnya dalam sidang media selepas membentangkan pindaan usul tersebut di Dewan Rakyat hari ini.
Kata ahli Parlimen Marang itu, tindakan ahli Parlimen bukan Islam membantah usul tersebut bukan disebabkan mereka mewakili bukan Islam sebaliknya hanya untuk kepentingan politik mereka.
“Namun terdapat ahli-ahli politik bukan Islam yang saya percaya mereka tidak mewakili masyarakat bukan Islam sepenuhnya, (ia) lebih untuk mendapat keuntungan politik daripada kepentingan awam,” katanya.
Ahok didakwa menghina al-Quran selepas mempertikaikan penggunaan sepotong ayat dalam surah al-Maidah yang dijadikan alasan untuk menolak kepimpinan beliau. Ayat itu berkaitan status bukan Islam sebagai pemimpin bagi orang Islam.
Susulan daripada itu, ribuan rakyat terutamanya umat Islam di Indonesia mengadakan demontrasi bantahan besar-besaran terhadap gabenor pertama berbangsa Cina di Indonesia itu.