Ini mungkin persoalan terbesar yang berlegar di fikiran penyokong pasukan Three Lions itu ketika ini setelah aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2015-2016 semakin hampir ke penghujungnya.
Rooney, 31, merupakan penjaring terbanyak England dengan 50 gol namun kini sedang dilanda kecederaan lutut dan tidak beraksi selama dua bulan.
Rekod jaringan musim ini juga tidak berpihak kepada Rooney, dengan hanya tujuh gol dijaringkan dalam EPL musim ini.
Terdapat empat penyerang England kini mempunyai rekod jaringan lebih baik berbanding Rooney dalam EPL; Hary Kane yang bermain untuk Tottenham Hotspur dengan 22 gol, Jamie Vardy (Leicester City-21 gol), penyerang veteran Sunderland Jermain Defoe (12 gol) dan penyerang Watford Troy Deeney (9 gol).
Malah, penyerang tinggi lampai West Ham United, Andy Carrol juga berjaya menyamai jumlah gol Rooney dalam EPL musim ini dengan hat-trick yang dilakukan ketika menentang Arsenal hujung minggu lalu.
Dengan formasi 4-2-3-1 yang dijangka digunakan oleh jurulatih dan Pengurus England, Roy Hodgson, Rooney bukan sahaja perlu bersaing untuk merebut tempat dalam pasukan England dengan nama-nama diatas, malah, Rooney masih perlu bersaing dengan beberapa nama lain seperti Danny Welbeck (Arsenal) dan Daniel Sturridge (Liverpool).
Bekas penyerang bawah-21 tahun England, Connor Wickham juga dilihat merupakan seorang lagi penyerang yang berpotensi untuk dibawa Hodgson ke Perancis nanti.
Dengan formasi penyerang tunggal, jika hanya jumlah jaringan diambil kira dan prestasi semasa, Rooney pastinya tidak layak untuk dibawa ke Perancis jika dibandingkan dengan Kane, Vardy, Defoe dan Deeney.
Diantara keempat-empat penyerang yang disebut, hanya Defoe sahaja yang mempunyai pengalaman beraksi dalam kejuaraan antarabangsa untuk England.
Namun rekod penampilan dan pengalaman lepas tidak seharusnya menjadi kayu ukuran tunggal. Lihat sahaja rekod Rooney di Euro 2004 Portugal dimana Rooney menonjolkan bakatnya kepada dunia.
Empat gol dijaringkan Rooney, 18 tahun ketika itu, dalam peringkat kumpulan sebelum tercedera di suku akhir dimana England tumpas kepada tuan rumah menerusi sepakan penalti.
Malah, lama sebelum itu, Michael Owen juga memperkenalkan dirinya di peringkat antarabangsa pada Piala Dunia Perancis 1998 ketika baru berusia 18 tahun.
Dengan masa dan prestasi kian mencemburui Rooney, layakkah dia sekali lagi dijadikan sebagai ikon harapan untuk England menjuarai kejuaraan antarabangsa yang pertama mereka selepas Piala Dunia 1966?
Dengan Kane dan Vardy sudah hampir pasti dibawa ke Perancis, Hodgson mungkin hanya akan membawa dua lagi penyerang ke Perancis.
Dan aksi mantap Carrol merobek pintu gol Arsenal pastinya membuatkan Hodgson mempertimbangkan untuk turut menyenaraikan penyerang bertubuh sasa tersebut.
Pun begitu, Hodgson merupakan seorang yang setia kepada pemainnya dan tempat Rooney juga dilaporkan selamat sekiranya cergas dan bebas dari kecederaan.
Namun, belum pasti sama ada tempat Rooney nanti di dalam kesebelasan utama ataupun sekadar di bangku simpanan.
Jadi, siapa pula yang akan menjadi mangsa yang akan dikorbankan Hodgson untuk membawa kaptennya itu di Perancis nanti?
Jangan dilupa, Welbeck dan Sturridge juga merupakan antara penyerang yang ‘disayangi’ oleh Hodgson.