PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan hukuman penjara kepada lapan tahun dan mengekalkan dua sebatan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Perak, Paul Yong Choo Kiong, kerana merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim dengan majoriti 2-1 diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Hakim Datuk Azman Abdullah (menolak rayuan Paul selaku perayu) manakala Datuk SM Komathy menentang keputusan majoriti.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dengan dua sebatan terhadap Yong selepas didapati bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun.
Pada 30 Januari lalu, panel terbabit selesai mendengar hujahan peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Paul Yong dan pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fuad Abdul Aziz.
Hisyam dalam hujahnya, menyatakan anak guamnya diprejudiskan apabila tidak diberi peluang untuk berdepan dengan mangsa yang juga bekas pembantu rumahnya warga Indonesia.
Katanya, hakim perbicaraan terkhilaf apabila mengguna pakai Seksyen 265 Kanun Tatacara Jenayah bagi melindungi identiti mangsa adalah tidak wajar dalam kes ini kerana daripada awal lagi identiti mangsa telah didedahkan dalam kertas pertuduhan.
Sementara itu, Fuad yang mewakili pendakwaan menghujahkan bahawa walaupun pihak pembelaan tidak dapat melihat wajah mangsa, namun mereka masih boleh menyoal balas mangsa.
“Walaupun pihak-pihak lain tidak dapat melihat tingkah laku, mimik muka atas keadaan mangsa ketika memberi keterangan, namun hakim bicara dapat melihatnya.
“Penilaian yang dibuat oleh hakim bicara telah mengambil kira segala fakta termasuk tingkah laku mangsa,” kata pendakwa raya itu.
Pada 27 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed, mendapati Yong bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun dalam bilik di rumahnya dekat Ipoh, Perak antara jam 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.
Ketika memberikan keterangan membela diri secara bersumpah, Yong menyatakan bahawa dakwaan rogol itu adalah satu konspirasi politik bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan kelebihan tiga undi.
Turut dipanggil sebagai saksi pembelaan ialah isterinya, Too Choon Looi dan bapa saudara mangsa.
Yong diperintah untuk membela diri atas pertuduhan pada 7 Disember 2021 dan dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019.
Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan memerintahkan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan selepas membenarkan rayuan Yong.
Perbicaraan kes itu bermula pada 5 April 2021 dengan 23 saksi termasuk dua saksi terlindung dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan. -Berita Harian Online