RM2,250 untuk visa umrah kali kedua

Beberapa agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima surat pemberitahuan daripada Kerajaan Arab Saudi menerusi Kementerian Haji Arab Saudi berhubung dasar baharu itu.

Notis itu menyebut, jemaah yang pernah menunaikan umrah pada tahun Hijrah (H) 1435H, 1436H dan 1437H yang mahu menunaikan umrah kali kedua mulai bulan depan akan dikenakan bayaran Visa Umrah sebanyak RM2,250.

Naib Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Ayob Mat Aris ketika dihubungi mengesahkan agensi yang menawarkan pakej umrah bernaung di bawah persatuan itu sudah menerima surat pemberitahuan berkenaan.

“Ya, …kami sudah dimaklumkan bayaran Visa Umrah bagi kali kedua dalam tempoh tiga tahun Hijrah sebanyak RM2,250, mulai bulan depan,” katanya yang juga Ketua Biro Umrah dan Haji Bumitra.

Jurucakap Tabung Haji Travel pula berkata, dalam surat pemberitahuan berkenaan pihaknya diminta memaklumkan kepada jemaah umrah berhubung kadar visa berkenaan.

“Turut disertakan prosedur semakan jemaah yang ada kekerapan menunaikan umrah dalam sistem Bab Al Umrah,” katanya.

Pada 2 Oktober lalu, media melaporkan kerajaan Arab Saudi mula melaksanakan caj baharu visa yang diputuskan bulan lalu oleh Kabinet bertujuan meningkatkan pendapatan bukan berasaskan minyak.

Menerusi skim baharu itu, caj visa bagi kemasukan tunggal ke negara itu adalah 2,000 riyal (RM2,250).

Bagaimanapun, pengunjung yang kali pertama memasuki Arab Saudi untuk menunaikan haji atau umrah dikecualikan daripada caj berkenaan, memetik BH Online.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia