KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim muncul sebagai pembida tertinggi untuk nombor plat kenderaan keluaran khas, GOLD 1.
Nilai bidaan RM1.5 juta yang dibuat baginda turut dicatatkan sebagai tertinggi dalam sejarah.
Menurut jurucakap Istana Negara, ia akan disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini di Istana Negara.
Pada pertemuan tersebut, Loke turut mempersembahkan secara simbolik nombor plat pendaftaran kenderaan kepada baginda.
Menurut laporan media sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.
Nombor siri ‘GOLD’ tersebut dibuka melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) mulai 1 Februari lalu.
Ia dibuka sehingga jam 10 malam, 5 Februari lalu.
Harga bidaan menerusi JPJeBid adalah mengikut kadar minimum ditetapkan, iaitu bermula daripada RM20,000 bagi nombor bernilai utama.
Nombor menarik pula dibuka bermula RM3,000 manakala nombor popular (RM800), dan nombor biasa (RM300).
JPJ menerusi bidaan nombor pendaftaran FF sebelum ini berhasil mendapat pulangan hampir RM35 juta. – Getaran