KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah menegaskan, bagi orang Cina makanan bak kut teh memang merujuk kepada sup herba babi.
Beliau yang merupakan mualaf berketurunan Cina berkata, sangat jarang masyarakat Tiong Hua merujuk bak kut teh sebagai sup daging lain.
“Tanyalah orang Cina bila sebut bak kut teh, adakah ia boleh bertukar jadi sup herba ayam, sup herba kambing atau apa-apa sup selain babi sudah sinonim, sebut sahaja bak kut teh, ia adalah sup herba babi.
“Walaupun perkataan ‘bak’ itu tidak merujuk kepada babi. Bak itu adalah daging sudah sinonim dengan babi.
“Jarang sangat orang Cina buat sup herba tanpa babi. Apatah lagi nak letak lembu atau kambing dalam sup tersebut kerana kebanyakan Cina tidak suka makan lembu, ada yang langsung tidak makan lembu. Majoriti mereka suka babi,” kata beliau.
Justeru katanya, ‘menteri’ terbabit tidak perlu berdolak-dalih untuk membuktikan yang dirinya betul dalam mengistilahkan semula bak kut teh sebagai sup herba daging bukan babi.
Sementara itu, Mohd. Ridhuan mendakwa, cadangan menjadi sup babi sebagai makanan warisan mencabar sensitiviti kaum majoriti di negara ini
““Hakikatnya, cadangan menjadi sup babi ini sebagai makanan warisan memang sangat mencabar sensitiviti majoriti Melayu.
“Ultra kiasu ini langsung secara sengaja tidak mahu faham akan sejarah negara ini, yang bersendikan Melayu bumiputera dan Islam,” katanya.
Semalam sesi Dewan Rakyat menjadi panas dengan isu menjadikan bak kut teh sebagai makanan warisan.
Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) ketika sesi perbahasan titah diraja mempersoalkan tindakan segelintir wakil rakyat yang mempolitikkan serta mewujudkan konflik berkaitan menu tersebut.
“Kalau guna daging babi, jadi tak halal, haram. Gunalah daging yang boleh kita makan, daging kambing, lembu, ayam, itik, daging angsa pun boleh.“Apa yang masalahnya? Semua benda kita nak dipolitikkan. Ini jadi masalah dalam negara,” katanya.
Howard Lee (PH-Ipoh Timur) bangkit menjelaskan, perkataan ‘bak’ adalah dalam bahasa Hokkien
.“Bak dalam bahasa Hokkien adalah daging, bukan khusus daging khinzir, itu salah. Kalau tu bak, itu daging khinzir, gu bak daging lembu,” jelasnya.
Sementara itu Teresa Kok (PH-Seputeh) turut melahirkan rasa kecewa terhadap seorang pemimpin muda dalam Kerajaan Perpaduan yang lantang mengkritik isu berkenaan.
“Saya berasa kecewa dengan kritikan yang dilontarkan oleh seorang pemimpin muda dalam Kerajaan Perpaduan berkenaan isu bak kut teh yang disenaraikan sebagai makanan warisan,” ujarnya.-MalaysiaGazette