Bersaksikan hampir 40,000 orang yang hadir pada majlis syarahan di Padang Astaka di Kemaman, Woo Nina Grace, 19, mengucapkan kalimah syahadah dengan dibimbing Dr Zakir selepas bersoal-jawab mengenai agama Islam.
Remaja perempuan itu yang menuntut di sebuah kolej swasta di Kemaman, yang ibunya berasal dari Filipina dan bapanya dari Johor, mengakui telah mula mengkaji tentang Islam ketika berusia 13 tahun.
Beliau sebelum itu memberitahu bahawa telah menghafal surah Al Fatihah, ayat kursi dan tiga surah Qul sejak beberapa tahun lalu dan yakin akan Tuhan yang Esa dan kewujudan Nabi Muhammad.
Ucapan kalimah syahadah itu bukan sahaja membuatkan Nina mengalirkan air mata malah juga hadirin yang hadir.
Sementara itu selepas selesai menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pilihan Orang Islam, Dakwah Atau Kemusnahan’ dan sesi soal jawab pada kira-kira 12.45 malam, Dr Zakir dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berjumpa dengan Nina yang berehat di sebuah bilik di belakang pentas.
Usaha pemberita untuk menemu bual Nina tidak berjaya selepas dihalang oleh pihak urus setia program.
Beberapa hadirin yang ditemui Bernama menyatakan bahawa mereka terkejut dengan kesediaan Nina memeluk Islam dan bersyukur kerana dapat melihat usaha dakwah Dr Zakir yang mampu menarik orang bukan Islam menjadi ‘saudara baru’. – Bernama