Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata parti itu tidak pernah mengabaikan agenda reformasi dalam usaha untuk membuat pembaharuan di negara ini walaupun terdapat beberapa pemimpin PKR yang terlibat dalam Deklarasi Rakyat.
Azmin berkata demikian ketika ditanya mengenai warkah dari penjara Anwar yang mengkritik kerjasama beberapa pimpinan dalam parti itu dengan Tun Mahathir dalam Deklarasi Rakyat.
Mengulas lanjut perkara itu, Menteri Besar Selangor itu menegaskan surat Anwar mengenai bahaya bekerjasama dengan Tun Mahathir merupakan perkara biasa bagi ketua umum PKR untuk mengemukakan pendapat dan cadangan kepada pemimpin parti.
“Dalam surat itu, Anwar berkata, tidak ada masalah dengan pemimpin-pemimpin parti menyertai Deklarasi Rakyat. Beliau juga tidak menghentikannya, tetapi sekadar memberi cadangan dan peringatan.
“Apa yang Anwar tekankan bahawa kita tidak harus lupa agenda reformasi selepas menyertai deklarasi ini,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Oriental Daily News.
Tambah Azmin, surat tersebut adalah untuk edaran dalaman dan bukan untuk tatapan umum.