Menurut Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Noorizah Abd Hamid, pengguna Kenderaan Kelas 1yang membayar tol menggunakan sistem elektronik iaitu menerusi kad PLUSMiles, Touch ‘n Go dan SmartTAG berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 20 peratus pada 29 Oktober (Sabtu) bersempena dengan Hari Deepavali.
“Ia boleh dinikmati oleh pengguna yang menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jarak jauh iaitu melebihi 100 kilometer pada hari tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Noorizah, pada tarikh tersebut, pengguna sistem elektronik masih perlu membuat bayaran tol seperti biasa, tetapi rebat tol 20 peratus tersebut akan dimasukkan ke dalam kad Touch ‘n Go atau kad PLUSMiles masing-masing (dalam bentuk tambah nilai) apabila mereka menambah nilai kad mereka dalam tempoh tiga bulan iaitu di antara 15 November 2016 sehingga 14 Februari 2017 di semua pusat khidmat pelanggan di lebuh raya PLUS.
“Pemberian rebat tol ini merupakan salah satu daripada langkah PLUS meraikan sambutan Hari Deepavali ini. Selain itu, ia adalah di antara strategi PLUS menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem pembayaran secara elektronik yang lebih mudah dan lebih pantas.
“Rebat tol ini boleh dinikmati sepanjang hari dan tidak terhad pada tempoh masa tertentu sahaja,” jelas Noorizah.
Walau bagaimanapun, rebat tersebut tidak diberikan untuk pengguna yang membayar tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang.
Jadual perjalananSementara itu, Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh PLUS bersempena cuti musim perayaan bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan yang menuju destinasi berlainan ‘bertembung’ di satu-satu lokasi di lebuh raya dan seterusnya menyebabkan kesesakan.
“TTA memainkan peranan yang penting dalam membantu mengagihkan trafik di lebuh raya. Apabila ramai mematuhi jadual perjalanan ini, ia dapat mengelakkan kenderaan yang menuju pelbagai destinasi di utara dan selatan bertembung di satu-satu lokasi di lebuh raya pada masa yang sama. Lonjakan jumlah kenderaan di lokasi dan pada masa yang sama sering menyumbang kepada kesesakan lalulintas pada musim perayaan dan waktu-waktu puncak,” kata Noorizah
Berdasarkan TTA yang dikeluarkan oleh PLUS sempena perayaan Deepavali, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis dan Kedah disarankan supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan lebih awal iaitu di antara jam 6 pagi hingga 10 pagi. Manakala, orang ramai yang menuju ke Pulau Pinang dan Perak (Utara dan Tengah) dinasihatkan memasuki lebuh raya di antara jam 10 pagi hingga 6 petang.
“Apabila saranan ini dipatuhi, kumpulan kenderaan yang bergerak ke Pulau Pinang dan Perak (Utara dan Tengah) tidak akan bertembung dengan kumpulan yang bergerak ke Perlis dan Kedah di lebuh raya. Sebaliknya, mereka akan berada di pelbagai lokasi berlainan sepanjang lebuh raya. Ini seterusnya boleh menjadikan perjalanan pulang ke utara lebih lancar. Begitu juga untuk perjalanan ke pelbagai destinasi di selatan,” jelas Noorizah.
PLUS turut menjangkakan jumlah trafik di Lebuhraya Utara-Selatan akan meningkat sebanyak tujuh peratus kepada 1.5 juta kenderaan setiap hari di antara 27 Oktober hingga 1 November bersempena perayaan Deepavali berbanding 1.4 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa.
Orang ramai juga boleh merujuk kepada jadual TTA di laman web PLUS di www.plus.com.my, mengikuti laman Twitter PLUSTrafik atau laman Facebook PLUSMiles.