KUALA LUMPUR: SPRM menahan aktivis politik Syarul Ema Rena Abu Samah atau Ratu Naga selepas menyerbu rumahnya di Kuala Lumpur pagi ini.
Suaminya Ezad Zainal berkata, lima pegawai badan antirasuah itu tiba di rumah mereka di Jalan Klang Lama sebelum jam 9.30 pagi dan menggeledah kira-kira 20 minit.
Katanya, SPRM turut merampas telefon bimbit dan laptop serta membawa Syarul Ema ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Ezad dan peguam mereka Nabila Khairuddin mendakwa SPRM enggan mendedahkan sebarang maklumat termasuk sebab penangkapannya.
“Dia (pegawai) hanya beritahu saya supaya berjumpa dengannya di ibu pejabat SPRM dan saya sekarang dalam perjalanan ke sana,” katanya kepada Malaysiakini pada jam 11 pagi tadi.
Sementara itu, sumber yang dekat dengan kes itu berkata Syarul Ema ditangkap bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan dakwaan aktivis Bersatu Badrul Hisham Shaharin terhadap setiausaha politik kanan perdana menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa Shamsul, melalui proksi, menyalahgunakan dana NGO.
Shamsul menafikan perkara itu dan mahu mengambil tindakan undang-undang.
Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi berkata Ratu Naga tidak ditangkap tetapi dipanggil untuk rakaman percakapan.
“Kita cuba panggil dia rakam kenyataan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 16 Akta SPRM,” katanya yang enggan mengulas lanjut. -Malaysiakini