Raja berumur 88 tahun itu yang merupakan raja paling lama memerintah di dunia telah menerima rawatan di hospital itu sejak beberapa tahun.
Raja Bhumibol yang naik takhta sejak 1946 amat dihormati rakyat Thailand dan disifatkan sebagai tokoh yang menyatukan rakyat di negara yang sebelum ini berpecah akibat perbezaan fahaman politik.
Biro Kerabat Diraja dalam kenyataan ke-38 yang dikeluarkan pada lewat malam tadi mengumumkan tekanan darah baginda telah turun sekali lagi manakala denyutan nadi bertambah laju dan kandungan asid dalam darah lebih tinggi.
Pasukan doktor diraja, katanya, telah memberikan ubat untuk mengawal tekanan darah dan asid dalam darah.
Menurut kenyataan itu, pasukan perubatan sedang memantau dengan rapi keadaan baginda.
Sementara itu, pegawai di sebuah agensi kerajaan, Yada Singlampong semasa ditemui Bernama di hospital itu berkata dia bergegas ke Hospital Siriraj dari pejabatnya selepas waktu kerja untuk berada dekat dengan Raja.
Wanita itu datang ke hospital bersama-sama rakannya untuk menyertai lainnya untuk mendoakan Raja dan berharap baginda cepat sembuh.
“Sebaik sahaja habis kerja pada 4.30 petang, saya dan rakan saya menunggang motosikal terus ke sini (hospital Siriraj) untuk memberikan sokongan moral kepada Raja dan mendoakan baginda agar cepat sembuh,” kata Yada dengan linangan air mata.
Katanya anak lelakinya yang berumur lima tahun selalu bertanya kepadanya kenapa rakyat Thailand menangis untuk Raja dan dia menjawab, “ia adalah kerana mereka amat menghormati Raja dan sentiasa dekat di hati mereka”.
“Setiap orang sayangkan Raja,” katanya dan menurutnya anaknya akan faham mengenai rasa sayangnya kepada Raja apabila dia semakin dewasa nanti.
Sementara itu, jurucakap kerajaan Lt Jen Sansern Kaewkanmnerd dalam satu kenyataan menggesa rakyat agar tidak panik dan terperdaya dengan khabar angin mengenai kesihatan Raja di dalam media sosial.
Topik mengenai kesihatan Raja menjadi tumpuan dalam kalangan pengguna media sosial di Thailand, dengan kebanyakan mereka mendoakan Raja yang disayangi mereka agar cepat sembuh.
Kerajaan turut mengeluarkan kenyataan bagi menyangkal dakwaan kononnya Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o cha terpaksa memendekkan lawatannya ke provinsi Chonburi semalam dan bergegas pulang untuk melawat Raja di hospital.
Sansern menjelaskan perdana menteri terpaksa membatalkan baki lawatan dan tugas di provinsi itu bagi membuat persediaan untuk menghadap Putera Mahkota Vajiralongkorn berkaitan laporan mengenai kerja-kerja kerajaan.
Beliau juga berkata Prayut tidak bercadang untuk mengeluarkan sebarang kenyataan dengan kadar segera.– Bernama