Rakyat Malaysia hanya boleh memandu Uber dan jual nasi lemak?

Ada logiknya apa yang dikatakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang bertanggungjawab untuk TN50, beliau berkata Wawasan 2020 akan berakhir dalam tempoh tiga tahun lagi, maka negara memerlukan visi baharu untuk memimpin belia ke arah matlamat baharu.

Jika ada komitmen politik yang kukuh dan perspektif makro, menggunakan masa 30 tahun untuk mencapai wawasan baharu, bukanlah satu idea yang buruk. Bagaimanapun sebelum bercakap mengenai pelan penstrukturan baharu, kita perlu terlebih dahulu jelas dengan beberapa persoalan.

Pertamanya ialah bagaimana kerajaan sekarang melihat Wawasan 2020? Tidak boleh mengetepikannya hanya kerana ia adalah cadangan Mahathir. Ini kerana visi atau dasar kerajaan perlu berorientasikan masa lampau, jika pelan lama tidak dikaji, bagaimana untuk mengetahui kelemahan sendiri?

Adakah apa yang dipanggil negara maju atau negara berpendapatan tinggi akan tercapai dalam tempoh tiga tahun? Jika tidak, pasti ada masalah yang berlaku di pertengahan. Takrif berpendapatan tinggi dinilai dalam Dolar Amerika, tetapi dalam keadaan kejatuhan nilai Ringgit, kita sekali lagi terperangkap dalam pendapatan sederhana.

Keduanya, bagaimana untuk memastikan TN50 tidak akan menjadi simbol politik yang lain dan hanya cakap kosong sahaja? Menurut PM, TN50 ialah untuk meneruskan rancangan transformasi negara 2010, tetapi transformasi sebelum ini tidak mencapai keberkesanannya. Bercakap mengenai transformasi ekonomi, perbendaharaan negara yang bergantung pada cukai minyak terpaksa bertukar pada kebergantungan terhadap GST, model ekonomi juga masih bergantung kepada pekerja asing.

Program transformasi kerajaan perlu meningkatkan kecekapan pentadbiran, tetapi bilangan kakitangan awam masih lagi besar. Transformasi perundangan pula ada pangkal tapi tiada penghujung, janji mahu memansuhkan Akta Hasutan tetapi Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mencetuskan kontroversi pula dibangunkan.

Ketiga, semasa mencadangkan TN50, Najib telah memberi contoh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh bapanya, Tun Razak dan merujuk dirinya telah mengambil masa 30 tahun untuk melahirkan generasi baharu. Jika matlamat DEB dan semangatnya diikuti, bimbang negara selepas 30 tahun masih gagal untuk bergerak ke arah kebebasan dan keterbukaan. DEB menggalakkan kuota perkauman dan merupakan penyebab kepada kegagalan tranformasi negara 2010.

Najib juga ada menyebut “marilah kita menjadi orang yang bertanggungjawab, mewariskan yang terbaik kepada generasi akan datang” dan “membentuk rakyat yang mempunyai pemikiran terbaik”. Ini adalah tanggungjawab bersama dan tugas pemimpin pemerintah dan pembangkang, tetapi apa yang kita lihat kini hanyalah samseng politik yang memusnahkan kedaulatan undang-undang, konfrontasi dalam politik dan memecahbelahkan masyarakat, kita telah meninggalkan sebuah negara yang berpecah belah kepada generasi akan datang.

Jika kita adalah orang yang bertanggungjawab, maka perlu memastikan kestabilan kewangan negara akan terus mampan, tetapi di sebelah kanan kerajaan mansuhkan subsidi dan di sebelah kiri pula subsidi politik ditingkatkan. Sebagai contoh, peruntukan BR1M mencapai RM6.8 bilion, ini adalah ketagihan politik yang sukar untuk dihilangkan.

Kos bayaran gaji kakitangan awam pula meningkat kepada 30 peratus, perkara ini juga adalah kegagalan dalam mengawal kewangan. Selain itu, pemimpin-pemimpin politik juga perlu memikirkan masa depan dan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik, barulah boleh menjadi teladan untuk membentuk generasi akan datang dalam mempunyai pemikiran yang cemerlang.

Seramai tujuh juta rakyat akan menerima BR1M, dan ini bermakna 23 peratus daripada 30 juta orang adalah rakyat yang berpendapatan rendah, maka transformasi adalah tugas yang menjadi keutamaan. Tetapi kerajaan tidak boleh hanya mencadangkan rakyat memandu Uber untuk mendapatkan wang tambahan atau jual nasi lemak.

Transformasi negara, peningkatan pendapatan rakyat memerlukan penyelidikan dan inovasi. Tetapi malangnya “pemotongan besar” Bajet tahun depan untuk peruntukan IPTA telah memberi impak yang besar dan ke mana pergi hala tuju negara yang sebenarnya?

Kami tidak mahu kerajaan besar yang rendah pelaksanaan, lebih rela membiarkan rakyat sendiri memainkan peranan dalam sebuah kerajaan kecil. Kami telah menunggu 30 tahun untuk Wawasan 2020 dan sanggup menunggu lagi 30 tahun, tetapi jangan sajikan kami dengan biskut kering lagi kerana jangka hayat seseorang itu adalah terhad. – Sin Chew Jit Poh

Related posts

Kaedah pengiraan jatuhkan Najib

“Tugasan besar” DAP

Hadi Awang “Man of the year”