Rakyat Indonesia marah, Ferdinand makan ‘Nasi Goreng Singapura’

Terbaharu, berlaku perdebatan dalam kalangan pengguna Twitter susulan tindakan bekas pemain pertahanan England dan Manchester United, Rio Ferdinand memuat naik sekeping foto menunjukkan beliau menikmati sepinggan nasi goreng di bilik hotel di Singapura.

Pemain bola sepak terkenal, 37, itu yang kini berada di Singapura sempena Kejohanan Dunia Formula One (F1) Grand Prix Singapura 2016 menerusi akaun Twitternya pada 17 September menyiarkan gambar nasi goreng dengan menulis kapsyen: “Makan tengahari nasi goreng… kekalkan (budaya) tempatan di Singapura.”

Ferdinand yang sepatutnya boleh menikmati kelazatan nasi goreng itu dengan “tenang” bagaimanapun telah mengudang reaksi pelbagai dalam kalangan netizen khususnya masyarakat Indonesia apabila segelintir daripada mereka mendakwa nasi goreng bukan makanan tempatan Singapura, sebaliknya dari Indonesia.

Gambar yang dimuat naik Ferdinand pada Sabtu lalu mendapat ‘retweet’ lebih 1,466 dan ‘likes’ 1,581 pengguna Twitter.

Rata-rata tampil mempertahankan bahawa nasi goreng berasal dari Indonesia.

“@rioferdy5 sebenarnya itu (nasi goreng) adalah makanan tempatan Indonesia,” tulis Rizky Agustian‏.

“@OBrien_86 @rioferdy5 pembetulan, nasi goreng dari negara saya Indonesia, bukan Singapura,” dakwa pengguna Twitter, Citra Meracuni Dunia‏.

Seorang pengguna Twitter pula secara sinis mendakwa bahawa tidak ada “nasi dan “goreng” di Singapura, manakala seorang lagi menulis: “Hey Rio, nasi goreng adalah makanan Indonesia, dan nasi goreng adalah bahasa Indonesia!”

Malah, ada dalam kalangan pengguna Twitter turut melahirkan perasaan terkejut dan menyelar tindakan segelintir masyarakat Indonesia supaya berhenti daripada terus menuntut hak mereka.

“rioferdy5 nasi goreng hanya ‘fried rice’ dan ia ada di mana-mana di negara Asia Tenggara, bukan hanya di Indonesia. Rakyat Indonesia, tolong berhenti menuntut semuanya,” tulis Muny0Ke.

Lebih mencuit hati apabila pengguna Twitter secara sarkastik membidas tindakan masyarakat Indonesia yang mendakwa nasi goreng milik mereka dengan mengaitkan dengan insiden jerebu.

“Ohhh… nasi goreng boleh tuntut, tapi jerebu tak boleh,” bidas HarisBRosli.

Related posts

Kes Stokin Kalimah Allah, Polis Tingkatkan Kawalan Di Mahkamah Shah Alam Elak Ketegangan

Konvoi Sahur: Dua Maut Dirempuh Lori Kontena

Majlis Perbandaran BP Batalkan Operasi Syarikat Edar Stokin Kalimah Allah