Rakan Lelaki Pengadu Direman 4 Hari Bantu Siasatan Kamera Disorok Di Inap Desa

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan seorang wanita diintip menerusi kamera tersembunyi di bilik air sebuah inap desa di Jelutong, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Lelaki berusia 20-an itu ditahan di Kuala Lumpur petang ini hasil maklumat awam dan risikan oleh pihak polis, kata Ketua Polis Timur Laut Razlam Ab Hamid.

“Polis juga telah mendapat perintah reman ke atas lelaki itu selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, kerana mengaibkan kehormatan seseorang,” katanya, lapor Bernama.

Dengan penahanan lelaki itu, katanya, pihaknya percaya dapat menyelesaikan siasatan kejadian tersebut, yang tular di media sosial sejak Jumaat.

Difahamkan suspek merupakan rakan kepada wanita yang membuat laporan polis tersebut dan dipercayai turut menginap di inap desa yang sama, bersama beberapa lagi rakan mereka.

Terdahulu dilaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Menurut Razlam, polis mendapati kamera yang tersembunyi itu terhubung dengan telefon bimbit milik lelaki berkenaan.

Katanya, setakat ini, polis telah merakam keterangan empat individu termasuk pengadu dan pengurus rumah inap desa terbabit bagi membantu siasatan.

Semalam, polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan seorang wanita yang menemukan kamera kecil tersembunyi ketika bercuti di inap desa terbabit Selasa lepas.

Menurut laporan tersebut, selepas mendaftar masuk bersama tiga rakannya pada 5 Feb, pengadu berusia 24 tahun itu menemukan kamera tersebut di dalam bekas pewangi tandas di bilik air. – BERNAMA

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap