Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, jumlah keseluruhan bagi tiga kajian kebolehlaksanaan, reka bentuk dan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang berjumlah RM305 juta juga terlalu mahal.
“Saya sedar kerajaan Pulau Pinang belum menyatakan ia akan melibatkan Kementerian Kerja Raya yang menawarkan bantuan untuk mengurangkan kos dan memastikan ketepatan masa projek itu yang saya syorkan supaya dipertimbangkan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Selasa.
Abdul Rahman juga mahu tahu mengapa syarikat sama yang diberikan projek itu turut diberi tanggungjawab melakukan kajian bagi menentukan sama ada projek mereka mampu dilaksanakan atau mesra alam.
“Bukankah ini satu konflik kepentingan?” soalnya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempersoalkan rancangan kerajaan Pulau Pinang menetapkan kadar tol di Jambatan Kedua Pulau Pinang sama dengan kadar di lebuh raya dengan ‘alasan’ tidak mahu pengendali jambatan itu kerugian.
“Ini tidak boleh diterima kerana kadar tol jambatan kedua ditetapkan berdasarkan operator mengutip bayaran untuk penyelenggaraan dan mendapatkan balik pelaburan mereka bagi pembinaan jambatan itu.
“Bagaimanapun, operator Projek Terowong Pulau Pinang akan mengenakan kadar bayaran yang sama walaupun ia tidak perlu mendapatkan kembali kos pembinaan kerana ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri,” katanya. – Bernama